3 lelaki Bangladesh maut dilanggar komuter

FMT Reporters
Anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Tiga lelaki dipercayai warga Bangladesh maut akibat dilanggar tren KTM Komuter dalam kejadian di Taman Puncak Utama, Jade Hill, Kajang, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.53 malam.

Katanya, sebuah jentera bersama anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dikejarkan ke lokasi selepas menerima laporan.

“Komander Operasi melaporkan kemalangan membabitkan sebuah komuter melanggar tiga orang mangsa lelaki yang menceroboh landasan kereta api.

“Semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan menurut Harian Metro.

Beliau berkata, mayat semua mangsa lelaki berusia 30 hingga 40-an itu masih dalam keadaan sempurna selepas tercampak ke tepi landasan akibat rempuhan terbabit.

“Operasi ditamatkan 12.15 tengah malam dan mayat diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan