426.4 kg makanan bazar Ramadan Kampong Bharu diselamatkan

NURUL IZZATI ZAINI
Fuziah (empat kiri) melakukan lawatan ke bazar Ramadan selepas merasmikan majlis pelancaran BRR melalui inisiatif MySaveFood di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!
KUALA LUMPUR – Sebanyak 426.4 kilogram (kg) makanan berjaya diselamatkan menerusi Program Kempen Menyelamatkan Pembaziran Makanan (MySaveFood) di bazar Ramadan Kampung Bharu, semalam.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, program ini adalah lanjutan dari tahun lalu melibatkan para peniaga bazar Ramadan untuk mengelakkan pembaziran makanan.

Ujarnya, dengan kerjasama Gerakan Pengguna Siswa (GPS) serta Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia, makanan yang dikumpulkan akan diberikan kepada para pelajar dan penerima yang telah pun dikenal pasti.

“Seramai 2,700 sukarelawan termasuk dari GPS menjadi penggerak kepada projek yang akan dilaksanakan di 75 bazar Ramadan di 12 negeri seluruh negara.

“GPS yang terlibat adalah dari 35 universiti di mana 19 adalah dari universiti awam dan 16 dari universiti atau kolej swasta. Setiap hari sukarelawan ni akan kumpul makanan di bazar terdekat mereka dan akan agih kepada universiti masing-masing.

“Hasrat kita agar pelajar-pelajar yang mendapat sumbangan makanan akan sedar pentingnya untuk tidak membazir dengan menyelamatkan makanan sekali gus membantu orang yang lapar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program MySaveFood Ramadan 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Tambah Fuziah, sebanyak 429.8 kg makanan juga dikumpulkan dari tiga bazar Ramadan melalui program MySaveFood yang dijalankan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada hari pertama bulan puasa tahun ini.

“Melihatkan kepada perkara ini, maka KPDN menyeru para peniaga di bazar-bazar Ramadan serta semua masyarakat untuk bersama-sama dalam projek MySaveFood sebagai satu usaha membendung pembaziran dan menyalurkannya kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Dalam program yang sama, Fuziah turut meninjau Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Kampong Baharu dimana lebih 200 peniaga menawarkan juadah-juadah rahmah.

Katanya, lokasi BRR di seluruh negara telah meningkat kepada 64 lokasi berbanding 41 lokasi pada tahun lalu.

“Tinjauan kita hari ini mendapati bahawa martabak boleh dijual antara harga RM4 hingga RM5. Bila saya tanya peniaga, ada untung ke, alhamdulillah mereka kata ada. Jadi saya lihat sambutan BRR tahun ni cukup baik.

“Lepas seminggu berpuasa hanya 18 aduan berkaitan harga di seluruh negara diterima KPDN. Orang tanya kenapa tak kawal harga. Kalau kita kawal, orang jadi tak nak berniaga.

“Jadi pengguna pun kena buat keputusan juga, kuasa pembeli itu akhirnya dijadikan penentu untuk peniaga letakkan harga yang berpatutan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan