Abang menyamar polis bantu adik jawab peperiksaan

KOSMO!
GAMBAR fail menunjukkan para pelajar mengambil peperiksaan sekolah tinggi di India. - Foto AFP
NEW DELHI – Seorang pemuda dari India ditahan kerana menyamar sebagai pegawai polis untuk membantu adik perempuannya menipu dalam peperiksaan sekolah tinggi, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.

Anupam Madan Khandare, 24, memasuki Sekolah Tinggi Shahbabu Urdu di bandar Patur, dengan memakai pakaian seragam polis untuk membantu menghantar helaian nota pelajaran kepada adiknya, baru-baru ini.

Bagaimanapun, seorang inspektor polis sebenar dan pasukannya kemudian tiba untuk mengawal keselamatan semasa peperiksaan berlangsung.

Apabila melihat mereka, Anupam cuba memberi tabik hormat kepada ‘rakan sekerjanya’ tetapi gerak-geri janggalnya serta-merta menimbulkan syak wasangka.

Ketika polis sebenar memeriksa pakaian seragam lelaki itu, mereka mendapati tag nama yang digunakan adalah salah, selain kualitinya tidak sama dengan uniform sebenar.

Apabila memeriksa poket seluar Anupam, polis menemui helaian-helaian nota pelajaran untuk adiknya yang sedang mengambil peperiksaan.

Dia kemudian ditahan dan didakwa kerana menyamar sebagai kakitangan kerajaan dan berisiko dipenjara jika sabit kesalahan. – AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan