Bayi perempuan maut di rumah pengasuh

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bayi perempuan berusia tiga bulan meninggal dunia di rumah pengasuhnya di Presint 15, Putrajaya, semalam.

Ketua Polis Putrajaya, A Asmadi Abdul Aziz, berkata bayi itu baru sahaja dihantar selama dua hari ke rumah pengasuh berkenaan.

Katanya, polis menerima laporan kejadian daripada pegawai perubatan Hospital Putrajaya pada 1.04 tengah hari.

“Difahamkan, pengadu menerima bayi berkenaan yang dibawa pengasuh pada 11.45 pagi, namun semasa tiba di zon merah bayi dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tiada tanda hidup.

“Pengasuh turut memaklumkan telah melakukan bantuan pernafasan sejak dari rumah dan diteruskan di unit kecemasan selama 30 minit namun bayi itu tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada 12.16 tengahari,” katanya menurut Astro Awani.

Asmadi berkata, hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang kesan kecederaan justeru mangsa dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Putrajaya untuk bedah siasat hari ini.

Beliau berkata, polis sudah merakam percakapan ibu bapa mangsa dan pengasuh.

Katanya, bapa mangsa memaklumkan anaknya dihantar ke rumah pengasuh ketika hari kejadian dalam keadaan tidak sihat kerana batuk seminggu sebelum ini.

“Ibu mangsa pula berkata, Isnin lalu, anaknya dihantar ke sebuah klinik di Presint 18 untuk pemeriksaan kesihatan dan dimaklumkan doktor keputusan x-ray menunjukkan mangsa tidak mengalami sebarang masalah.

“Ibunya memaklumkan, doktor di klinik itu memberikan ubat batuk dan ubat gatal dan dia hanya memberikan ubat batuk kepada anaknya itu,” katanya.

Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan