Budak tertinggal dalam van, jeritan sayup-sayup didengari ketika azan

NURUL IZZATI ZAINI
Gambar yang dimuat naik Ahmad Syafiee di akaun Facebooknya memaparkan murid perempuan berusia tujuh tahun itu diselamatkan selepas terperangkap di dalam bas.
PETALING JAYA – Seorang lelaki tidak menyangka naluri hati untuk mendengar azan di luar pagar rumah akhirnya berjaya menyelamatkan murid perempuan yang terperangkap di dalam bas sekolah.

Ketika kejadian kira-kira pukul 7.15 petang kelmarin, Ahmad Syafiee, 33, bersama anak perempuannya berusia tiga tahun berada di luar pagar di kawasan perumahan di Tampoi, Johor Bahru sebelum terdengar jeritan sayup-sayup yang semakin kuat.

Ahmad Syafiee berkata, jeritan itu mengalihkan perhatiannya ke arah sebuah bas sekolah yang diletakkan di parkir di depan rumahnya sebelum hatinya tergerak untuk memeriksa lebih lanjut.

“Terkejutnya saya apabila ada budak sekolah lingkungan usia tujuh tahun terperangkap dalam bas tu. Saya letakkan anak kecil saya dalam rumah dahulu sebelum kembali ke bas untuk cari cara selamatkan murid itu.

“Keadaan murid tu memang pucat kerana kepenatan menangis tambah pula kelmarin cuaca di sini memang sangat panas terik. Saya anggap anak kecil tu tertidur kerana penat balik dari sekolah.

“Setelah gagal buka pintu bas yang berkunci, saya cuba keluarkan murid tersebut melalui tingkap belakang yang boleh dibuka walaupun agak tinggi. Murid tersebut campak dulu barang-barangnya sebelum dia panjat keluar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Tambah Ahmad Syafiee, setelah itu kanak-kanak tersebut dibawa untuk berbuka bersama keluarganya kerana dilihat berada dalam keadaan amat keletihan dan kelaparan.

Bercerita lanjut, Ahmad Syafiee berkata, dia menghubungi ibu kanak-kanak tersebut setelah terlihat ‘tag’ nombor telefon pada beg murid perempuan itu.

“Lepas saya berjaya menghubungi nombor telefon itu, saya terus terdengar suara sayu seorang ibu yang mencari anaknya. Saya beritahu tentang kejadian yang menimpa murid perempuan itu.

“Saya berikan alamat rumah dan tak lama lepas tu ibunya datang ambil anaknya. Ibunya cerita, pemandu kata murid ni tak naik bas sekolah. Katanya, silap pemandu tak tengok bas sebelum ‘off-service’.

“Pesanan saya kepada syarikat-syarikat bas supaya kisah ini dijadikan iktibar untuk tambah baik prosedur ‘check seat’ sebelum hentikan servisnya,” katanya.

Terdahulu, hantaran Ahmad Syafiee di media sosial mendapat perhatian pengguna media sosial apabila lebih 2,400 tanda suka dan 1,300 perkongsian.

Beberapa gambar turut dimuat naik memaparkan murid tersebut yang sedang makan akibat kelaparan dan bas sekolah yang dinaikinya ketika kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan