Ishhh!! Juruterbang tertidur ketika penerbangan

Bharianonline

JAKARTA: Agensi keselamatan udara Indonesia menggesa mekanisme pemantauan keletihan juruterbang yang lebih baik selepas siasatan mendedahkan kedua-dua juruterbang pesawat komersial baru-baru ini tertidur dalam penerbangan.

Juruterbang dan pembantu juruterbang tertidur serentak selama kira-kira 28 minit ketika penerbangan Batik Air dari Sulawesi Tenggara ke ibu negara Jakarta pada 25 Januari, menurut laporan awal oleh Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan negara (KNKT).

Laporan itu dilihat oleh AFP hari ini, dimuat naik ke laman sesawang agensi berkenaan pada akhir bulan lalu.

Indonesia adalah sebuah kepulauan yang luas dengan rekod keselamatan udara yang lemah, walaupun sangat bergantung kepada pengangkutan udara sebagai perantara yang menghubungkan ribuan pulaunya.

Menurut laporan itu, seorang daripada juruterbang tidak mendapat rehat yang cukup pada malam sebelum penerbangan.

Insiden terbabit mengakibatkan beberapa kesilapan navigasi, tetapi 153 penumpang Airbus A320 dan empat pramugari tidak mengalami kecederaan ketika dalam penerbangan selama dua jam 35 minit itu.

Kira-kira setengah jam selepas pesawat itu berlepas, kapten meminta kebenaran daripada kapten kedua untuk berehat seketika dan permintaan itu dibenarkan.

Namun, menurut laporan itu, pembantu juruterbang kemudian mengambil alih penerbangan, tetapi turut secara tidak sengaja tertidur.

"Pembantu juruterbang mempunyai bayi kembar berusia sebulan. Kedua anak itu dijaga oleh isterinya dan dia membantu ketika tidak bertugas," kata laporan itu.

Beberapa minit selepas isyarat penghantaran (transmission) terakhir direkodkan oleh pembantu juruterbang, pusat kawalan kawasan di Jakarta cuba menghubungi pesawat itu tetapi tidak mendapat jawapan.

Selepas 28 minit laporan penghantaran terakhir direkodkan juruterbang itu tersedar dari tidur dan menyedari pembantu juruterbangnya sedang tidur dan pesawat tidak berada di laluan penerbangan sepatutnya.

Menurut laporan itu lagi, juruterbang berkenaan segera membangunkan rakan juruterbangnya, menjawab panggilan dari Jakarta dan membetulkan laluan penerbangan.

Pesawat itu selamat mendarat selepas kejadian terbabit.

Penyiasat tidak mengenal pasti juruterbang, tetapi berkata kedua-dua mereka warga Indonesia berusia 32 dan 28 tahun.

Dalam pada itu, KNKT menggesa Batik Air mewujudkan prosedur terperinci untuk menjalankan pemeriksaan kokpit yang betul dan secara berkala serta memastikan juruterbang dan kru kabin memperoleh rehat dengan baik sebelum penerbangan.

Setakat ini, Batik Air tidak memberi maklum balas terhadap pertanyaan AFP. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan