Kerajaan digesa ambil tindakan segera cegah kartel warga asing tentukan harga sayur

Mahani Ishak
mahani@bh.com.my
Pendatang asing mampu bentuk kartel, kuasai rantaian bekalan. - Foto hiasan
Pendatang asing mampu bentuk kartel, kuasai rantaian bekalan. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Kebun sayur diusahakan pendatang asing yang didakwa semakin meluas, sama dengan penguasaan golongan itu dalam rantaian perbekalan hasil tani berkenaan, dikhuatiri membentuk kartel sayur di Malaysia.

Andai saiz kebun haram makin bertambah, sekuriti dan keterjaminan makanan negara boleh terancam berikutan kebergantungan sangat tinggi kepada pengusaha dan tenaga kerja asing dalam rantaian daripada peringkat kebun, logistik, pengedaran hingga pasar borong.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Shazwan Mokhtar, berkata kelompangan undang-undang sedia ada sebenarnya membuka ruang kepada isu itu.

"Pendatang sewa tanah orang tempatan untuk buka kebun, sebahagian lagi ceroboh tanah kerajaan atau persendirian. Kebanjiran petani asing ini membentuk rangkaian dan mula menembusi kitaran bekalan makanan hingga gugat kemandirian petani tempatan.

"Misalnya, dengan kos operasi murah rentetan aktiviti pertanian haram serta tindakan mereka guna racun serangga murah dan berbahaya, hasil pertanian lebih murah dapat ditawarkan kepada pasaran.

"Mereka juga berupaya berhubung terus dengan peniaga, ini tak beri kelebihan kepada petani tempatan yang terikat dengan pematuhan dan syarat ketat ditetapkan pihak berwajib," katanya kepada BH, semalam.
Dr Mohd Shazwan Mokhtar.
Dr Mohd Shazwan Mokhtar.
Semalam, akhbar ini dalam laporan muka depan, melaporkan warga Bangladesh, Indonesia dan Rohingya menguasai industri sayur di negara ini dengan membuka anggaran 1,000 hektar kebun sayur haram di serata Semenanjung.

Kegiatan itu paling banyak dikesan di Selangor, Johor, Melaka, Pulau Pinang dan Pahang, terutama Cameron Highlands dengan anggaran keseluruhan kebun haram di setiap negeri antara 50 hingga 100 hektar.

Mohd Shazwan berkata, penerokaan tanah secara haram disebabkan kurang kesedaran pemilik tanah tempatan untuk mengusahakan tanah mereka dengan aktiviti ekonomi berimpak tinggi, lalu menyewakannya.

"Jadi perkara berkaitan undang-undang tanah perlu diperketatkan kerana jika bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya terbatas dengan tawaran kompaun atau tindakan mahkamah, masalah sama tetap akan berulang.

"Penguatkuasaan undang-undang peringkat PBT atau Pejabat Tanah perlu dinilai semula kerana ia turut berkait isu ketirisan dan rasuah. Pihak berkuasa tak boleh bergantung laporan atau aduan orang ramai semata-mata, kena turun padang lebih kerap," katanya.

Tegasnya, kebanjiran warga asing dalam rantaian perbekalan sayur perlu dikawal oleh agensi kerajaan berkaitan supaya sektor makanan negara dapat diperkukuh dan tidak lagi terlalu bergantung pada hasil tani yang dimport.

"Ini penting kerana ia bukan sahaja menjamin bekalan makanan, tetapi memastikan harga makanan mampu dibeli rakyat tempatan," katanya.

Tuntut tindakan segera

Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata kerajaan perlu bertindak segera bagi mengelakkan warga asing terus kuasai industri sayur negara.
Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin.
Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin.
Katanya, warga asing wujud pada semua peringkat rantaian bekalan kerana merekalah pengeluar, penggerak pengangkutan dan pengedaran, logistik sehinggalah jualan di pasar borong.

"Jika tiada tindakan segera dalam masa terdekat, mereka boleh membentuk kartel dan ia menyukarkan penyelesaian kepada isu sekuriti makanan dihadapi negara pada ketika ini," katanya.

Katanya, ketika ini harga sayur sudah meningkat 25 peratus akibat pembatalan kuota pekerja asing dan akan diburukkan lagi apabila industri dimonopoli pekebun haram yang bukan warganegara.

Pensyarah ekonomi di Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff bersetuju kerajaan perlu bertindak segera memastikan pembabitan warga asing dan rantaian perbekalan sayur negara dilumpuhkan dan kebun haram dihapuskan.
Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.
Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.
"Perlu pastikan warga asing tidak lagi sewenang-wenangnya buka kebun sayur. Seterusnya, bongkar rangkaian kartel kerana ini akan jejas pendapatan pekebun tempatan dan dalam jangka panjang boleh ancam keterjaminan makanan negara," katanya.

Pendatang kuasai pelbagai rantaian perniagaan

Pendatang asing di negara ini diakui makin kukuh bertapak dalam rantaian perniagaan, bukan setakat sektor pertanian terutama sayur-sayuran yang kian dikuasai mereka dari peringkat kebun hingga pasar borong.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman, berkata warga asing yang pada mulanya bekerja dengan warga tempatan, makin aktif dalam perniagaan lain, antaranya pembinaan, elektrik dan kenderaan.

"Ini seperti sel kanser, jika tak dikawal, tak mustahil warga asing kuasai ekonomi negara kita dan beri ancaman buat usahawan tempatan. Pengguna pula lebih cenderung dapatkan khidmat mereka kerana caj lebih murah," katanya kepada BH, semalam.

Dalam sektor pertanian, Rosli memberi contoh di Cameron Highlands, banyak kebun sayur di kawasan itu disewakan kepada warga asing yang mulanya bekerja dengan pekebun tempatan.

"Contohnya di Cameron Highlands, kebanyakan warga Bangladesh ambil alih tanah orang tempatan menanam sayur.

Disember lalu, pihak berkuasa menyerbu Jalan Silang di ibu negara, kawasan menempatkan gerai dan perniagaan dikuasai warga asing terutama Bangladesh yang menawarkan pelbagai khidmat dan produk, hingga mendapat jolokan 'Little Dhaka'.

Pendatang yang sebelumnya lebih ramai bekerja atau 'berniaga' dalam pelbagai jenis perkhidmatan, terutama restoran atau cuci kenderaan semakin lama berubah menjadi majikan.

Perniagaan lain yang semakin ramai membabitkan warga asing terutama Bangladesh di Malaysia ialah rumah penginapan atau 'homestay' mewah, terutama di bandar besar.

Pada 2018, BH melakukan tinjauan serta intipan di sekitar ibu negara dan melalui maklumat dikumpul daripada pelbagai sumber, warga asing biasanya bergerak berkumpulan untuk urus puluhan kediaman seperti suite, apartmen dan kondominium.

Mereka dipercayai menjana keuntungan bulanan cecah puluhan ribu ringgit, namun tidak membayar cukai.

Rosli berkata, kegiatan warga asing yang masuk sebagai pekerja, terutama dalam sektor 3D (kotor, bahaya, sukar) dalam perniagaan sebenarnya sudah lama bermula, sudah berpuluh tahun, namun kerajaan didakwa tidak tegas menanganinya.

"Agensi berkaitan perlu bertindak, kawal kemasukan dan pastikan syarikat bawa masuk pekerja asing hantar mereka pulang selepas tamat tempoh visa atau permit kerja," katanya.

"Jika kita gagal menanganinya, suatu hari nanti rakyat kita akan lebih sukar untuk 'cari makan'. Lebih parah, kita khuatir ekonomi Malaysia nanti dikuasai atau dikawal kumpulan warga asing ini pula," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan