KPN: Ada baki individu dikesan berkait dengan lelaki Israel

AZMI NORDIN

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjejaki beberapa individu berhubung penahanan lelaki Israel bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini pada Rabu lalu.

Setakat ini, pihak Polis Diraja Ma;aysia (PDRM) menahan tiga individu terdiri daripada pasangan suami isteri warga tempatan yang berperanan sebagai pembekal senjata api dan pemandu lelaki Israel tersebut.

Tangkapan pertama membabitkan pasangan berusia 42 dan 40 tahun yang dibuat sepasukan [egawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di bazar Ramadan di Kuala Selangor kelmarin.

Seterusnya, seorang lelaki dicekup di Cameron Highlands, Pahang dipercayai pemandu kepada lelaki Israel terbabit.

Semakan mendapati lelaki Israel itu memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan terperinci berhubung kes itu termasuk mengesan beberapa individu disyaki berkait dengan suspek.

“Ya, kita masih dalam siasatan secara terperinci dan teliti,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Menurut beliau, pihak polis akan mendapatkan perintah reman terhadap lelaki asing itu hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Akta Senjata 1960.

“Sebelum ini suspek disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Passport 1966,” kata beliau.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang warga Israel berusia 36 tahun ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang selepas menginap di tiga hotel berasingan di ibu negara sejak memasuki negara pada 12 Mac lalu.

Hasil soal siasat, suspek mendakwa datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga warganegara sama untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga, namun polis tidak mempercayai dakwaan tersebut.

Razarudin berkata, siasatan mendapati lelaki itu masuk ke negara ini menggunakan pasport Perancis dan ketika disoal siasat, dia kemudian menyerahkan pasport Israel.

Siasatan polis kini memfokuskan kepada sama ada suspek benar-benar ejen Israel dan dipercayai tidak bergerak secara bersendirian.

Susulan penahanan itu, polis meningkatkan keselamatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan orang kenamaan. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan