Kubah masjid hampir RM1 juta dikebas pencuri

KOSMO!
Kalimah ‘Allah’ yang diletakkan di atas kubah masjid dilarikan pencuri. – Istimewa
JAKARTA –  Sebuah hiasan kubah masjid yang diperbuat daripada emas dicuri di Masjid Al-Huda, Buru, dalam wilayah Maluku, lapor laman berita Insert Live kelmarin.

Hiasan kalimah ‘Allah’ itu diperbuat daripada emas seberat 2.6 kilogram dan bernilai 3 bilion rupiah (RM906,166).

Sejurus hiasan tersebut hilang, penduduk menemui tangga kayu yang ditinggalkan di tepi sungai berdekatan masjid tersebut.

“Penduduk menemui tangga tersebut tidak lama selepas mendapat tahu bahawa hiasan kubah diperbuat daripada emas dilarikan pencuri.

“Namun, tiada pihak yang tampil mengaku pemilik tangga tersebut,” kata pemimpin tempatan,  Fandi Ashari Wael.

Tambah Fandi, tangga itu dilihat seperti baru ditinggalkan, menyebabkan mereka percaya ia digunakan oleh pencuri untuk memanjat kubah masjid.

“Tangga itu amat panjang dan kelihatan baharu. 

“Pencuri itu seperti seorang yang profesional. Dia mencuri secara senyap dan tiada sesiapa yang tahu sedangkan kedudukan masjid dekat dengan tempat tinggal penduduk,” ujarnya. – AGENSI 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan