MH370: 'Bungkusan misteri dari Eropah'

Mohd Iskandar Ibrahim
bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Di sebalik cabaran harian berdepan tangisan waris mangsa pesawat MH370 dan soalan bertubi-tubi petugas media, ada pengalaman menakutkan tidak pernah diceritakan bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

"Satu malam sekitar Mei 2014 selepas selesai mesyuarat pasca sidang media harian, saya bersama dua pegawai pulang ke bilik penginapan di sebuah hotel bersebelahan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

"Ketika menunggu lif, ada seorang wanita bertopi, berbaju putih, lebih rendah daripada saya dan membawa beg kertas serta payung hijau.

"Sebaik saya memasuki lif, wanita itu juga ikut masuk sebelum tiba-tiba dua pengawal keselamatan hotel bergegas masuk. Saya pelik kenapa mereka bertindak demikian," katanya kepada BH, baru-baru ini.
Fakta kehilangan MH370.
Fakta kehilangan MH370.
Sebaik tiba di aras bilik penginapannya, Azharuddin keluar menuju ke arah biliknya sebelum menyedari berlaku kekecohan dari belakang dan terdengar pengawal keselamatan menjerit mengarahkan wanita berkenaan berhenti.

"Saya pun berhenti sebelum mendengar pengawal keselamatan cakap 'Stop! Stop! You cannot go!' sambil mengarahkan saya terus masuk ke bilik.

"Saya terkejut dan melihat wanita itu ditahan. Tak sempat nak tanya apa yang berlaku, pengawal keselamatan suruh saya segera masuk ke bilik," katanya.

Setengah jam selepas itu, Azharuddin dihubungi pegawainya dan mengajak beliau turun untuk makan malam.

"Saya tanya pegawai apa berlaku. Beliau berkata wanita itu lama menunggu di lif dan apabila ditanya, dia memberitahu menunggu kawan sebelum memasuki lif apabila saya berbuat demikian.

"Wanita itu enggan meninggalkan hotel dan hanya berbuat demikian selepas digertak perkara itu akan dilapor kepada polis. Sampai sekarang saya tak tahu apa yang dimahukannya," katanya.

Satu lagi perkara aneh dilaluinya ialah pada 22 Februari 2020, enam tahun selepas kehilangan MH370.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Kira-kira seminggu selepas menyambut ulang tahun kelahiran, beliau menerima sebuah bungkusan di kediaman.

"Saya tanya kepada isteri, dia kata ada kawan hantar hadiah. Saya tak ambil endah sebab ketika itu mahu menghadiri kenduri.

"Selepas pulang, saya buka bungkusan itu. Rupanya ia sebuah bagasi, ada gambar orang, ada nama, tertulis 'I am stranded five years ago' (saya terkandas lima tahun lalu).

"Saya pun periksa senarai nama penumpang MH370, benar ada nama penumpang itu," katanya.

Beliau bergegas menghubungi kenalan yang juga pegawai di Bukit Aman dan diarah tidak memegang atau membuka bagasi berkenaan.

"Esoknya beberapa anggota polis datang bersama unit pemusnah bom, unit forensik dan membawa bagasi itu ke balai polis di Putrajaya.

"Saya dipanggil ke balai polis untuk membuat laporan dan dimaklumkan beg itu kosong, cuma ada notis sama dengan tulisan ditampal di luar bagasi yang dihantar dari Eropah melalui kiriman dalam talian," katanya.
16 Mac 2014 - Sidang media mengenai kehilangan pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama, Sepang. - Foto fail NSTP
16 Mac 2014 - Sidang media mengenai kehilangan pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama, Sepang. - Foto fail NSTP
6 April 2014 - Antara mesej yang ditinggalkan di ruangan khas sempena memperingati tragedi MH370 di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. - Foto fail NSTP
6 April 2014 - Antara mesej yang ditinggalkan di ruangan khas sempena memperingati tragedi MH370 di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. - Foto fail NSTP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan