MyKad generasi baharu atasi isu kad pengenalan palsu

MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Semua fungsi kad-kad pengenalan jenis lama akan dimansuhkan sebaik Mykad generasi baharu diperkenalkan bagi mengatasi isu pemalsuan kad identiti kewarganegaraan tersebut.

Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias berkata, cadangan tersebut telah dipersetujui secara dasar oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, baru-baru ini.

“Kita (JPN) cadangkan kerajaan apabila memperkenalkan MyKad generasi baharu nanti, kad-kad (pengenalan) lama tidak lagi boleh digunakan.

“Tiada lagi kad pengenalan plastik, satu gambar dan dua gambar,” katanya ketika ditemui pada program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di Kampung Pasir Raja di sini, hari ini.

Beliau menyampaikan MyKad gantian kepada lima penduduk perkampungan tersebut yang sebelum ini terjejas dalam banjir besar pada bulan Januari lalu.

Badrul Hisham berkata, pelaksanaan Mykad generasi baharu tersebut merupakan mekanisme bagi menangani isu kad pengenalan palsu yang masih berlaku terutamanya di Sabah.

Beliau berkata, keterangan lanjut berhubung pelaksanaan MyKad generasi baharu terbabit akan dimaklumkan kerajaan pada masa sesuai.

“Penukaran MyKad generasi baharu ini dijangka dilakukan secara berperingkat berikutan implikasi kos yang tinggi sekiranya dilakukan sekali gus,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan