Najib dapat layanan 'sangat istimewa' di penjara - Wan Ji

B Nantha Kumar & Siti Nur Shahirah Omar

Sebelum ini, segelintir pihak menimbulkan spekulasi bahawa bekas perdana menteri Najib Razak sebenarnya tidak pun menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Ini kerana, menurut mereka, tiada gambar yang dapat membuktikan perkara itu selain layanan istimewa yang mungkin dinikmatinya selaku bekas pemimpin utama negara.

Namun, penceramah Wan Ji Wan Hussin yang baru saja menghabiskan hukuman penjaranya di sana menyatakan Najib sememangnya di penjara itu, dan malah mendakwa dia menerima layanan "sangat istimewa".

Dalam wawancara bersama Malaysiakini susulan pembebasannya, Wan Ji berkata dia pernah melihat kelibat Najib ketika menjalani hukumannya.

"Kalau ada orang kata Najib tiada dalam penjara, itu tidak betul. Memang dia di Penjara Kajang, hari-hari dia ada di situ. Kecuali kalau dia ada urusan luar seperti perbicaraan di mahkamah," katanya kepada Malaysiakini pada 25 Mac lalu.

Bagaimanapun, Wan Ji mendakwa Najib menerima layanan sangat istimewa, berbeza dengan banduan-banduan lain.

"Saya biasa nampak dia tak pakai baju banduan macam kita yang lain. Dia pakai biasa sahaja, macam duduk di rumah.

"Bukan pakai sut, tak adalah. Maksudnya dia pakai macam duduk di rumah, saya di situ pakai baju banduan," katanya, sambil menambah Najib ditempatkan di "blok istimewa", berbeza dengannya.

"Memang dia istimewa sangat. Bukan (sekadar) istimewa, tapi istimewa sangat," dakwanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi pihak Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Jabatan Penjara Malaysia untuk mendapatkan respons berhubung dakwaan ini.

Malaysiakini juga telah menghubungi peguam Najib untuk mendapatkan maklum balas.

Wan Ji bebas sepenuhnya pada 22 Mac lalu setelah beberapa bulan menjalani hukuman penjara ekoran sabitan kes hasutan yang dikaitkan dengan sultan Selangor pada 2014.

Memulakan hukumannya pada 25 September 2023, dia sebelum ini telah keluar penjara pada 1 Januari lalu, melalui Program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).

Melalui program itu, Wan Ji yang merupakan bekas pegawai kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata dia dibenarkan tinggal di luar tetapi tidak boleh bergerak bebas dan mesti mendapatkan kebenaran untuk kegiatannya.

Menceritakan lebih lanjut, Wan Ji berkata dia tidak berpeluang untuk berinteraksi dengan Najib sepanjang berada di Penjara Kajang.

"Najib ini saya tak jumpa, cuma nampak. Blok saya yang belakang sekali. Dekat kawasan padang, ada satu blok lain dan Najib ada di situ.

"Jadi bila peguam datang berjumpa saya, saya berjalan dan nampak dia. Bercakap tak boleh sebab jauh," katanya lagi.

Najib dijatuhkan hukuman 12 tahun dan denda RM210 juta selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd (SRC).

Pada 2 Februari lalu, Lembaga Pengampunan membuat keputusan untuk mengurangkan hukuman tersebut kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta.

Dengan itu, Najib dijangka akan dibebaskan pada Ogos 2028. Bagaimanapun, dia boleh dibebaskan lebih awal atas "kelakuan baik" pada Ogos 2026 selepas menjalani dua pertiga dari tempoh hukuman penjara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan