Orang ramai serbu masjid beri wang RM150 untuk tarawih

KOSMO
Orang ramai dilihat menunaikan solat di luar masjid termasuk di halaman rumah penduduk sekitar dan jalan raya. – Istimewa
JAKARTA  –  Sebuah masjid di Malang, wilayah Jawa Timur menjadi tumpuan orang ramai yang datang dari jauh untuk menunaikan solat tarawih demi mendapatkan wang sumbangan sebanyak 50,000 rupiah (RM150), lapor portal berita Okezone semalam.

Wang tersebut disumbangkan oleh seorang ahli perniagaan di daerah Gondanglegi.

Pengumuman mengenai sumbangan itu dibuat menerusi mesej berantai yang tular di media sosial. Ia menyatakan bahawa setiap seorang jemaah yang  solat tarawih di Masjid Jami’ Al-Ilyas, Kampung Penjalinan, akan menerima wang 50,000 rupiah.

Susulan itu, orang ramai termasuk penduduk sekitar dan yang tinggal jauh menyerbu masjid berkenaan minggu lalu.

Menurut seorang jemaah bernama Muhammad Syafi’i, dia sanggup menempuh perjalanan memakan masa  sejam dari rumahnya untuk pergi ke masjid tersebut.

“Saya datang sebelum maghrib bagi memastikan saya mendapat tempat duduk di dalam masjid. Alhamdulillah, saya, isteri dan anak dapat bersolat di dalam masjid,” katanya.

Tambah Muhammad Syafi’i, ramai orang datang ke masjid tersebut bahkan ada yang tiba secara rombongan dengan menaiki lori.

Berdasarkan video yang tular di media sosial, orang ramai dilihat menunaikan solat di luar masjid termasuk di halaman rumah penduduk sekitar dan jalan raya.

Disebabkan itu juga, beberapa jalan berhampiran masjid mengalami kesesakan teruk pada minggu lalu.

Tambah Muhammad Syafi’i, dia dan keluarganya bersolat di masjid tersebut sejak Rabu lalu dan menjelang malam Khamis, wang sumbangan yang dijanjikan sudah tiada.

“Maklumat awal yang saya dapat adalah wang itu akan diberi sepanjang bulan Ramadan. Namun semalam (minggu lalu), ia sudah tidak diberikan,” katanya.

Ujarnya, dia bagaimanapun tidak berasa kecewa kerana hasratnya untuk pergi ke Gondanglegi bersama keluarganya sudah tercapai. – AGENSI 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan