PIBGN: Guru wanita itu ada suami dan anak, mesti dicegah 'bercinta' dengan pelajar

Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyifatkan tindakan seorang guru wanita sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang bercinta dengan pelajar lelaki berusia 17 tahun sebagai pelik, tidak sepatutnya berlaku dan perlu dicegah.

Presiden PIBGN, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, ini disebabkan guru wanita terbabit sudah mempunyai suami dan anak.

"Melainkan guru itu janda, mungkin boleh diberi laluan disebabkan hak kebebasan manusiawi. Tetapi oleh kerana dia masih ada suami dan anak, saya rasa perkara seperti ini tidak patut berlaku.

"Perlu dicegah, jangan dibiarkan dan diambil tindakan sewajarnya oleh kementerian atau pihak sekolah," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan seorang guru wanita SMK yang bercinta dengan pelajar lelaki berusia 17 tahun walaupun sudah mempunyai suami dan lima anak.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, laporan polis yang dibuat oleh keluarga pelajar terbabit juga dirasakan wajar kerana pihaknya khuatir gangguan dan kesan emosi terhadap pendidikan remaja itu.

"Remaja ini mungkin beranggapan sebagai cinta monyet. Tetapi cinta monyet ini luar biasa dan perlu dihalang," katanya.

Disebabkan itu, beliau mencadangkan agar satu pertemuan dibuat antara guru dan keluarga pelajar selain kedua-duanya menghadiri sesi kaunseling agar mereka insaf.

"Masa depan kedua-dua mereka agak terancam sekarang ini. Kaunseling itu bukan saja secara saintifik tetapi juga secara syariah.

"Ini bermakna kita beri peluang kepada mereka untuk insaf. Tidak menghukum secara terus tetapi memberi pemulihan.

"Kita harapkan pemulihan itu akan berlaku secara kekal dan mereka menjadi manusia yang baik serta menjadi contoh kepada semua," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan