Polis tingkat keselamatan Agong, PM ekoran penahanan lelaki disyaki ejen perisikan Israel

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan kawalan keselamatan di seluruh negara termasuk terhadap golongan kenamaan.

Ia susulan tangkapan seorang lelaki warga Israel bersama enam senjata serta 200 peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini, pada 27 Mac lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan berwaspada dengan mengambil langkah awal meningkatkan kawalan keselamatan terhadap golongan kenamaan.

"Melihat kepada isu Palestin-Israel ketika ini, kita perlu berwaspada dengan tahap keselamatan golongan kenamaan membabitkan Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim), Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) serta beberapa individu lain.

"Dakwaan dia datang ke Malaysia untuk membunuh individu dari Israel juga tidak boleh diterima sepenuhnya kerana lelaki terbabit mungkin ada agenda lain.

"Disebabkan itu, kita perlu tingkatkan kawalan keselamatan terhadap mereka (Agong dan Perdana Menteri)," katanya pada sidang media pada Majlis Berbuka Puasa di Masjid Al-Amin, Markas Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, di sini, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lelaki warga Israel berusia 36 tahun itu ditahan bersama enam senjata api serta kira-kira 200 peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang pada 27 Mac lalu.

Razarudin dipetik berkata, lelaki itu memiliki dua pasport iaitu pasport Perancis yang digunakannya untuk masuk ke Malaysia dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu serta satu pasport Israel.

Menurutnya, hasil soal siasat dilakukan, suspek mendakwa kononnya dia masuk ke Malaysia bagi membunuh seorang individu warga Israel berkaitan isu keluarga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan