Saifuddin sekolahkan Siti Mastura, nafi 1.2 juta warga China tinggal tak sah

SITI NUR ZAWANI

Cubaan ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Masturah Muhammad menimbulkan persepsi buruk terhadap kerajaan dengan mendakwa kononnya 1.2 juta warga asing dari China tinggal secara tidak sah di negara ini, dibidas oleh Menteri Dalam Negeri.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution menegaskan bahawa dakwaan berulang-ulang yang dimainkan wakil rakyat Pas itu adalah jauh tersasar dan tidak sepatutnya dipertahankan lagi.

Beliau dalam penjelasannya di Dewan Rakyat semalam berkata, dakwaan dilemparkan Siti Mastura adalah tidak benar sama sekali kerana warga asing yang tinggal di negara ini adalah pemegang pas jangka panjang.

“Kenyataan 1.2 juta orang China masuk, tak keluar (itu) cukuplah.

“Itu dakwaan yang tersasar sama sekali, tak boleh dipertahankan berdasarkan kepada fakta dan angka yang saya bentangkan,” katanya semasa ucapan penggulungan ucapan Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Rakyat.

Saifuddin menambah, warga asing yang berada di negara melibatkan pelbagai jenis pas di mana selama mereka memegang pas tersebut, mereka tertakluk kepada tempoh yang dibenarkan untuk tinggal. Atas sebab itu wujud rekod warga asing ini tidak keluar.

“Mereka adalah warga asing pemegang pas jangka panjang. Memang dia tinggal sini, dia tidak balik sampai pas jangka panjang dia tamat. Boleh jadi tiga tahun, boleh jadi lima tahun.

“Ada juga warga asing yang masuk, kemudian terlebih tinggal tetapi kita buka Program Rekalibrasi, mereka daftar. Jumlahnya ini lebih kurang satu juta. Pas jangka panjang lebih kurang 2.6 juta,” katanya.

Sementara itu, Lim Guan Eng (PH-Bagan) meminta petua dari Speaker agar Siti Mastura diarah membuat permohonan maaf di Dewan Rakyat kerana dengan sengaja menimbulkan dakwaan tidak berasas selain cuba menjadikan Saifuddin sebagai sasaran serangan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bagaimanapun memberitahu ucapan dibuat Siti Mastura akan diteliti sebelum petua dikeluarkan.

“Saya nak cadangkan beliau harus menarik balik dakwaan tersebut dan meminta maaf kerana ia langgar peraturan 36(12),” kata Guan Eng.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan