Selama dua tahun tu pihak penguatkuasa buat apa?

JIM serbu kilang kitar semula milik warga China, rampas wang tunai lebih setengah juta

Samadi Ahmad
am@hmetro.com.my
RUSLIN (tengah) pada sidang media mengenai serbuan kilang kitar semula di Ibu Pejabat Imigresen, hari ini. FOTO Samadi Ahmad
RUSLIN (tengah) pada sidang media mengenai serbuan kilang kitar semula di Ibu Pejabat Imigresen, hari ini. FOTO Samadi Ahmad
Putrajaya: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur sebuah kilang kitar semula peralatan elektronik dimiliki seorang lelaki warga China dalam satu operasi khas, di Klang, Selangor, pada Selasa.

Dalam operasi jam 4 petang itu, seramai 48 individu termasuk pengarah dan pemilik kilang ditahan, manakala wang tunai berjumlah RM688,900 dirampas.

Operasi dijalankan hasil aduan awam dan risikan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM selama sebulan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Pasukan Taktikal Khas (Pastak) serta Penguatkuasaan dan Bahagian Pencegahan ATIPSOM, Putrajaya.

Katanya, berdasarkan maklumat dan risikan pasukan JIM mengatur gerak operasi ke kilang berkenaan sebelum menahan seorang lelaki tempatan dan lelaki warga China yang berperanan sebagai pengarah dan pemilik kilang.

"Kita turut menahan 46 individu lain termasuk dua lelaki dan tiga wanita warga China berusia lingkungan 50 hingga 70 tahun yang juga ahli Lembaga Pengarah syarikat itu.

"Turut dirampas lesen perniagaan, dokumen syarikat, Sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), rekod perniagaan, kunci premis, enam naskah pasport China dan wang tunai berjumlah RM688,900 serta 42 kad perakam waktu pekerja kilang," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Ruslin berkata, turut ditahan 36 lelaki warga Myanmar, dua wanita warga Myanmar, tiga lelaki warga China, seorang lelaki warga Indonesia berusia dalam lingkungan 16 hingga 78 tahun.

Mengulas lanjut Ruslin berkata, hasil semakan awal mendapati dua lelaki dan seorang wanita warga China memiliki pas penggajian yang masih sah laku sementara dua wanita warga China memiliki pas tanggungan yang masih sah laku.

Katanya, seorang lagi wanita warga China melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan seorang remaja warga Myanmar berusia 16 tahun turut ditahan dan disiasat kerana disyaki menjadi mangsa pemerdagangan orang di bawah ATIPSOM.

"Baki 43 warga asing yang juga pekerja di kilang itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan pas yang sah untuk berada di negara ini," katanya.

Ruslin berkata, modus operandi kilang berkenaan adalah memproses barang kitar semula peralatan elektronik, kabel dan wayar untuk mendapatkan tembaga dan aluminium daripada pelbagai negara yang dibawa masuk menerusi Pelabuhan Klang.

Menurutnya, barang kitar semula yang diproses itu akan dijual semula secara pukal bagi pasaran tempatan dan luar negara.

Katanya, kilang yang beroperasi selama dua tahun itu juga didapati menggaji pekerja warga asing dengan bayaran RM2,500 hingga RM3,000 sebulan selain menyediakan tempat tinggal di dalam kilang.

"Semasa serbuan terdapat pekerja warga asing yang cuba melarikan diri dan kawasan kilang yang luas itu menyukarkan anggota namun berjaya dipatahkan," katanya.

Beliau berkata, terdapat juga pekerja asing yang cuba memprovokasi dengan membuat bising dan cuba menghalang pasukan operasi ketika membuat penggeledahan namun tindakan itu tidak berjaya.

Menurutnya, kesemua warga asing itu termasuk 43 yang tidak mempunyai dokumen sah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1963, Akta Pasport 1966 dan Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut.

"Lelaki warga tempatan yang juga pengarah kilang disiasat melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 sementara dua lagi warga tempatan yang bekerja di kilang itu diberikan notis hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan