Amir Hamzah Nordin
am@hmetro.com.my
KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit kemalangan. FOTO Amir hamzah Nordin
Maran: Seorang penunggang motosikal yang dalam perjalanan menghadiri program RXZ Fighter Gathering di Kuantan, maut dalam kemalangan di Kilometer (KM)156.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan, hari ini.
Dalam kejadian jam 8.10 pagi itu, mangsa Mohammad Sharfie Sukri, 21, maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dipandu lelaki berusia 47 tahun.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, mangsa dalam perjalanan dari Petaling Jaya, Selangor menghala ke Kuantan.
"Apabila tiba di tempat kejadian, penunggang motosikal itu yang berada di lorong kiri bergesel dengan lori.
"Akibatnya mangsa tercampak dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil temubual, semasa kejadian mangsa bersama sepuluh rakan yang turut menunggang motosikal berkonvoi dari Petaling Jaya untuk menghadiri program RXZ Fighter Gathering.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Mohamad Zamri berkata, ini kemalangan kedua membabitkan penunggang motosikal yang dalam perjalanan ke program RXZ Fighter Gathering.
"Semalam seorang peniaga pasar malam maut selepas terbabas di Kilometer 166.6 Lebuhraya LPT," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan