Sungai Golok kering, polis tingkat rondaan

Bernama
Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun, berkata kawalan sempadan dipertingkat di Sungai Golok yang kering bagi banteras aktiviti penyeludupan. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU: Polis Kelantan terus memperketatkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand sepanjang musim kemarau dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan susulan air Sungai Golok mulai kering sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Muhamad Zaki Harun, berkata kawalan keselamatan berkenaan menerusi rondaan akan terus dipergiatkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA).

Beliau berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang cuba menyeberang sempadan secara haram susulan air cetek di sungai berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan paras air Sungai Golok mulai kering akibat kemarau melibatkan beberapa kawasan seperti Kampung Chabang Tiga Bagus dan Lubok Gong di Pasir Mas.

“Kalau hendak masuk ke kawasan sempadan mesti ada permit yang sah sama ada naik kereta atau motosikal,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah tugas di IPK Kelantan.

Terdahulu, Pemangku Ketua Cawangan Khas Kelantan Nor Azmi Che Musa menyerahkan jawatannya kepada Ahmad Norisham Maarus yang dilantik ketua Cawangan Khas Kelantan baharu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan