420 kilogram gula yang mahu diseludup ke negara jiran ditemui dalam hutan

Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my
Anggota tentera memeriksa gula yang disorok di dalam hutan di Kampung Punang, Ba'kelalan yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran. - Foto TENTERA DARAT
Anggota tentera memeriksa gula yang disorok di dalam hutan di Kampung Punang, Ba'kelalan yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran. - Foto TENTERA DARAT
KUCHING: Anggota Tentera Darat mengesan tempat transit penyeludupan gula ke negara jiran di Ba'kelalan, di utara Sarawak, pagi ini.

Gula terbabit ditemui ditutup dengan kanvas, kira-kira 900 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.

Jurucakap Sel Operasi Media, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat berkata, turut ditemui tiga tong diesel sebanyak 105 liter.

"Ketika menjalankan rondaan berdekatan sempadan pada 9.45 pagi, anggota Tentera Darat menjumpai bungkusan kanvas dengan 35 karton gula berjumlah 420 kilogram dan tiga tong minyak diesel," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil rampasan itu dianggarkan bernilai RM1,400.

Beliau berkata, laporan polis dibuat di Pondok Polis Ba'kelalan dan semua barangan rampasan akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Lawas minggu depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan