Mengapa miliki enam pistol untuk bunuh seorang?

Safeek Affendy Razali
safeek@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Mengapa warga Israel yang ditahan dipercayai perisik memiliki enam pucuk pistol bersama 200 peluru hidup.

Pada masa ini siasatan masih giat dijalankan bagi mendapatkan maklumat mengapakah suspek utama berusia 36 itu memiliki pistol melebihi satu.
Enam pucuk pistol bersama 200 peluru hidup yang dirampas daripada suspek lelaki warga Israel dalam serbuan polis di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada Rabu lalu. - Foto NSTP

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sedang menyiasat dari semua sudut dan tujuan utama pistol berkenaan.

"Timbul persoalan di sini mengapakah suspek memerlukan pistol dan peluru yang begitu banyak sedangkan sebelum ini dia memberikan alasan kononnya ingin membunuh seorang warga Israel yang ada di sini disebabkan masalah peribadi.

"Jadi buat masa ini siasatan menjurus ke arah itu dan kita juga tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai agenda lain seperti saya nyatakan sebelum ini bahawa mengancam keselamatan Yang di-Pertuan Agong atau Perdana Menteri Malaysia atau juga orang berkepentingan lain.

"Semua ini adalah intipati utama dalam penyiasatan kita," katanya kepada BH hari ini.

Razarudin berkata, sehingga ini, sepasang suami isteri warga tempatan yang ditahan di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor, semalam, bertanggungjawab membekalkan semua enam pistol kepada suspek.

Katanya, pasangan terbabit disyaki memperoleh pistol dari negara jiran sebelum menjualnya kepada suspek dengan pembayaran menggunakan mata wang kripto.

"Kita sedang menantikan tempoh reman terhadap kedua-dua suspek terbabit sebelum siasatan lanjut ke atas pasangan berusia 42 dan 40 tahun itu dijalankan.

"Malah kita juga sedang mengenal pasti tujuan utama mereka menyimpan sepucuk lagi pistol yang dirampas," katanya.

Pada masa ini secara keseluruhan polis merampas tujuh pucuk pistol selain menahan seorang lagi lelaki dipercayai pemandu kepada lelaki Israel di Cameron Highlands, pagi semalam.

Terdahulu, lelaki Israel itu ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini, Rabu lalu, sebelum membawa kepada penemuan enam pucuk pistol.

Suspek warga Israel disahkan memasuki negara ini menggunakan pasport warganegara Perancis pada 12 Mac lalu dan dikesan menginap di tiga hotel berbeza sebelum ditahan di Jalan Ampang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan