Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Wanita warga emas ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai memandu sebuah kereta secara berlawanan arus di Kilometer 9, Jalan Johor Bahru - Air Hitam di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, wanita berusia 75 tahun itu ditahan selepas dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Iskandar Puteri sejurus video pemandunya secara berlawan arus itu tular di media sosial.
"Kejadian dipercayai berlaku antara jam 12 tengah malam hingga 2.50 pagi semalam, dan kita menahan seorang suspek wanita kira-kira jam 4.11 petang semalam bagi membantu siasatan.
"Hasil siasatan awal mendapati wanita itu tidak memandu di bawah pengaruh alkohol, sebaliknya dia disyaki mengalami masalah kesihatan iaitu dementia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam dan menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dijalankan.
Semalam, tular beberapa video memaparkan insiden sebuah kereta dipandu secara berlawanan arus di beberapa aplikasi media sosial.
Dakwa pengguna akaun yang memuat naik video berkenaan, dia percaya warga emas yang menghidap dementia itu memandu seorang diri sejauh 15 kilometer dari Kulai ke Iskandar Puteri.
Dakwanya, terdapat orang awam yang berjaya mengepung kenderaan warga emas berkenaan di sebuah jambatan sebelum bertindak menghubungi polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan