Xing Hua terima hidayah pada usia 89 tahun

Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ramadan tahun ini membawa sinar buat Shi Xing Hua yang akhirnya mendapat hidayah untuk memeluk Islam ketika usia 89 tahun.

Kisah Xing Hua mendapat perhatian selepas anaknya, Ahmad Shi Rong Xuan, 56, memuat naik video mengenai kisah penghijrahannya di TikTok.

Rata-rata netizen yang menonton video itu nyata tersentuh dan bersyukur dengan kisah penghijrahan Xing Hua yang mendapat hidayah dalam Ramadan.

Kesungguhan Xing Hua untuk mendalami Islam juga dapat dilihat menerusi videonya mengambil wuduk sebelum menunaikan solat.

Menyelami isi hatinya, Xing Hua dari Nanjing, China berkata, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk memeluk Islam dan bersyukur kerana hasratnya termakbul jua.

"Keinginan itu semakin bertambah selepas datang ke negara ini beberapa hari lalu.

"Selepas datang ke sini, setiap hari saya ke masjid dan rakan anak saya, Imam Ma Peng yang banyak mengajar saya mengenai ilmu agama.

"Jam 4.50 petang semalam, Imam Ma Peng membantu mengislamkan saya dan mengucap dua kalimah syahadah di hadapannya," katanya ketika ditemui Harian Metro di Restoran Cina Muslim Kui Guang Ge, di sini.
AHMAD Shi Rong Xuan (kanan), membaca al-Quran bersama bapanya, Xing Hua,  (kiri). FOTO Aiman Danial Mohd Hood Aktha
AHMAD Shi Rong Xuan (kanan), membaca al-Quran bersama bapanya, Xing Hua, (kiri). FOTO Aiman Danial Mohd Hood Aktha
Menurut Xing Hua, dia belum berpuasa namun akan belajar dan melakukan kewajipan itu seperti yang dituntut Islam.

"Bukan sekarang tetapi akan perlahan-lahan cuba kerana tak mungkin saya boleh berpuasa secara tiba-tiba.

"Tapi memandangkan saya melihat keluarga anak saya berpuasa setiap hari, jadi saya beritahu mereka untuk tidak sediakan makanan buat saya kerana mahu menghormati mereka," katanya.

Sementara itu, anaknya, Ahmad berkata, dia sangat gembira dan pada masa sama terkejut selepas dapat tahu bapanya mahu memeluk Islam.

Sebagai anak, Ahmad sudah tentunya menyokong hasrat bapanya dan menganggap hidayah itu hadiah Allah SWT buat bapanya dalam Ramadan.

"Ayah beritahu saya dia sudah lama belajar solat di Masjid di Nanjing, China.

"Apabila ayah datang ke Malaysia beberapa hari lalu, dia beritahu saya keinginannya memeluk Islam.

"Imam Ma Peng, iaitu rakan saya, mengajar ayah cara solat dan mendalami ilmu agama serta membantu mengislamkan ayah semalam," katanya.

Berhubung perihal dirinya, Ahmad berkata, dia memeluk Islam pada 5 Mac 2000 selepas berkahwin dengan isterinya.

"Banyak yang saya belajar selepas memeluk Islam malah dapat berhenti merokok tak minum arak selepas itu (peluk Islam).

"Saya pernah mengislamkan sebilangan besar etnik Han dan Hui di bandar Nanjing, China sebelum datang ke negara ini.

"Di sini juga saya ingin menyebarkan ajaran Islam supaya masyarakat khususnya kaum Cina di negara ini tahu mengenai Islam," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan