15 kucing, 10 burung mati dalam kebakaran sebuah rumah

Amir Hamzah Nordin
am@hmetro.com.my
Jerantut: Sebanyak 15 ekor kucing dan 10 ekor burung peliharaan mati selepas sebuah rumah di Kampung Cengkuak, Damak dekat sini, hari ini.

Kebakaran jam 6.26 pagi yang dipercayai akibat litar pintas turut memusnahkan keseluruhan rumah berkenaan.

Mangsa, Faridah Majid berkata, dia terdengar kucing peliharaan yang diletakkan di sebuah bilik khas berbunyi pelik ketika sedang bersiap untuk solat Subuh.

Katanya, ketika kejadian dia bersendirian di rumah manakala ibunya, Mekalthom Awang, 80, berada di rumah adiknya kerana tidak sihat.

"Sebaik mendengar bunyi kucing yang pelik, saya terus ke bilik itu dan mendapati asap tebal keluar daripada saluran paip wayar, dan pada masa sama keluar percikan dari plug di tepi dinding dan terbakar.

"Semua berlaku begitu pantas kerana dinding rumah diperbuat daripada kayu dan asap mula tebal," katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, dia terus keluar dari rumah dan menjerit meminta tolong.

Namun, dia masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil kunci kereta dan telefon bimbit.

"Saya sempat mengalihkan kereta, manakala dua motosikal dialihkan oleh jiran yang sedar berlaku kebakaran," katanya.

Faridah berkata, selepas api dipadamkan sepenuhnya, 15 kucing dan 10 burung peliharaannya mati.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut, RofiziAbd Rahman berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati sebuah rumah jenis separuh kekal musnah sepenuhnya.

Katanya, tiada mangsa terbabit.

"Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan