Alan Shearer pertahan tindakan Salah

BHarianonline 
Bintang Liverpool, Mohamed Salah (kiri) dan pengendali, Jurgen Klopp ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang West Ham di Stadium London, London. - Foto REUTERS
LONDON: Alan Shearer mempertahankan tindakan Mohamed Salah, selepas penyerang Liverpool itu bertegang leher dengan pengendali, Jurgen Klopp di tepi padang.

Penyerang Mesir itu dirakam berbalah dengan Klopp ketika keputusan 2-2 menentang West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

Salah bermula di bangku simpanan dalam kunjungan ke Stadium London, tetapi ketika dimasukkan di babak kedua, dia menunjukkan rasa tidak puas hati kepada Klopp.

Klopp juga mengatakan sesuatu kepada penyerang Mesir itu yang mencetus kemarahannya, dan Salah membalasnya dengan isyarat tangan - menunjuk ke arah padang dan kemudian kepada pengendali itu.
Mengulas berkenaan insiden itu, Shearer meluahkan rasa simpatinya terhadap Salah dan berkata dia memahami kekecewaan pemain terbabit.

"Kita tidak tahu apa yang Klopp katakan kepadanya. Dia mengatakan sesuatu yang menimbulkan kemarahannya.

"Sudah pasti dia kecewa dipinggirkan, walaupun prestasinya tidak seperti sebelum ini. Dia masih seorang pemain yang hebat.

"Dia tidak mempedulikan Jurgen, dia memberi tepukan kepada penyokong Liverpool dan terus menuju ke bilik persalinan.

"Dia meledak 17 gol dalam 25 penampilan liga apabila memulakan permainan. Sesiapa yang melihat angka itu pasti kagum.

"Malang ia berakhir seperti itu kerana kerana apa yang Klopp lakukan dan apa yang dilakukan Salah," kata Shearer.

Bercakap selepas perlawanan, Klopp menegaskan perkara itu sudah selesai.

"Kami bercakap tentangnya di dalam bilik persalinan dan ia sudah selesai," kata Klopp yang akan meninggalkan Anfield di akhir musim ini.

Salah pula enggan mengulas tentang kejadian itu dan hanya berkata: "Jika saya bercakap ia akan lebih panas hari ini."

Bintang Mesir itu sekali lagi mendahului senarai penjaring Liverpool dengan 24 gol musim ini, tetapi prestasinya mula menurun selepas kecederaan ketika Piala Negara-Negara Afrika pada Januari. - AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan