Anak tahi judi, ibu sengsara tiga tahun diganggu ah long

AZMI NORDIN
Sook Fun (kiri) gagal menahan sebak ekoran tindakan anaknya kerap meminjam ahlong pada sidang akhbar di Wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini.
KUALA LUMPUR – Seorang ibu tunggal nekad memutuskan hubungan dengan anak lelakinya yang tidak serik meminjam wang ceti haram untuk berjudi sejak tiga tahun lalu.

Kesal dengan tindakan anaknya, Lim Sook Fun, 64, berkata, sebanyak RM70,000 sudah dikeluarkan daripada wang simpanan persaraan setakat tahun lalu untuk membayar pinjaman anaknya, sebelum meminjam lagi RM11,000, baru-baru ini.

Katanya, meskipun tahu ibunya diugut ah long, anak lelaki berusia 40 tahun yang bekerja sebagai perunding hartanah itu tetap menyuruh ibunya meminjam daripada kenalan lain untuk menyelesaikan hutang tersebut.

“RM30,000 saya selesaikan (hutang) pada 2022 lepas itu RM40,000 pada tahun 2023. Banyak kali saya beri peluang tetapi kali ini sudah melampau. Sekarang ah long kata ada hutang lagi RM11,000,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Menceritakan tentang gangguan dilaluinya, Sook Fun berkata, beberapa notis memaparkan gambar anaknya telah dicampak ke dalam pagar kediamannya bersama kesan cat merah, 28 Mac lalu.

Jelasnya, beberapa individu juga cuba menghubunginya dengan ugutan, namun dia tidak mengendahkan ancaman tersebut.

“Sebaik laporan polis dibuat, esoknya saya dihubungi seorang individu yang mengetahui tindakan tersebut dan menawarkan diskaun untuk pinjaman yang telah dibuat.

“Beberapa hari kemudian, ada lagi cat dilemparkan dan kali ini turut terkena pada lapan jiran-jiran (lapan rumah). Yang bersalah anak saya, bukan kami semua,” katanya.

Jelas pesara swasta itu, sejak beberapa bulan lalu dia mula mengalami kesukaran untuk tidur disebabkan tindakan anak sulungnya itu.

“Selama ini saya bagi peluang untuk berubah tapi dia tetap tidak mengendahkan. Saya tiada duit untuk bayar, sampai hati dia buat begini disebabkan judi.

“Untuk ah long, tolong jangan ganggu lagi. Saya sudah tua, minta kepada orang yang pinjam,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong menasihati agar orang ramai tidak menggunakan perkhidmatan ah long sekiranya memerlukan wang.

“Ah long ingat kalau ugut baling cat merah kita akan takut. Laporan polis telah dibuat dan kita harap siasatan berjalan dengan telus dan lancar,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan