Anwar Ibrahim terkesan, sedih dengan kes rasuah Kastam di KLIA

Mohd Iskandar Ibrahim
bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan terkesan dengan kecurangan yang berlaku membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Perdana Menteri berkata, kecurangan masalah rasuah, biarpun membabitkan jabatan kecil daripada keluarga JKDM, masih boleh menyebabkan kerugian hampir RM2 bilion kepada negara.

"Sehingga kini dengan mendapat maklumat daripada badan penguat kuasa termasuk SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), pimpinan dan pimpinan kanan penjawat awam, masih terhindar daripada masalah rasuah dan salah guna kuasa.

"Tetapi masih berlaku kecurangan yang bagi saya sangat mengesankan dan menyedihkan termasuk berita baharu dari Kastam (JKDM)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di PUSPANITAPURI hari ini.

Pada 29 Mac lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata jumlah ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan membabitkan beberapa anggota Kastam di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lepas.

Katanya, setakat ini seramai 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0 kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu.

Anggota dan pegawai penguat kuasa berusia 30 hingga 50 ditahan dipercaya menerima wang rasuah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan.

"(Ops Samba 2.0) penting kerana kita bongkar kegiatan rasuah libatkan agensi penguat kuasa yang libatkan kebolosan dan ketirisan," katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, ada orang yang masih meremehkan isu rasuah namun terlupa bahawa tindakan itu boleh menyebabkan kerugian kepada negara.

"Bayangkan kalau ini berlaku dengan ketirisan minyak diesel, minyak makan (masak) diambil oleh kalangan tertentu, kalau kita kumpul semua, kita boleh selamatkan puluhan bilion ringgit," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan