Baru sehari bekerja, ‘maid’ larikan motosikal dan rantai

KOSMO
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan pelaku mencuri motosikal majikannya selepas baru sehari bekerja. – @TKPMEDAN
JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang pembantu rumah yang baru sehari bekerja, melarikan motosikal milik majikannya, lapor akhbar Tribun Medan semalam. 

Lebih memeranjatkan, pembantu rumah itu turut mencuri rantai anak mangsa. 

Menerusi perkongsian di akaun Instagram @tkpmedan, mangsa berkata, dia mengenali pelaku menerusi Facebook sebelum mengupahnya sebagai pembantu rumah. 

Namun, biarpun belum mula bekerja, suspek telah meminta wang tambang sebanyak 100,000 rupiah (RM29.87) sebaik tiba di rumah mangsa.

Kemudian, selepas hanya sehari bekerja, suspek membawa lari motosikal jenis Honda Scoopy milik mangsa dan mencuri rantai leher anaknya.

“Pada hari Jumaat, 29 Mac, pukul 10 pagi (waktu tempatan), dia (suspek) melarikan motosikal itu. Barulah kami sedar bahawa kami juga kehilangan seutas rantai leher yang tertulis Nayra,” kata mangsa. – AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan