Dua ditahan disyaki bunuh lelaki di sebuah rumah

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my

Klang : Dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan meniarap dipercayai dibunuh di rumahnya di Taman Jaya, Kapar pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata seorang suspek ditahan pada Sabtu lalu manakala seorang lagi ditahan hari ini.

"Kedua-dua suspek berusia 25 dan 29 tahun itu ditahan di sekitar Kapar dan suspek yang ditangkap pada Sabtu lalu kini dalam tahanan reman manakala seorang lagi akan direman esok.

"Polis masih mengesan suspek lain yang terlibat dalam kes ini dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Media pada Khamis lalu melaporkan seorang lelaki berusia 38 tahun ditemui mati dalam keadaan meniarap dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Taman Jaya, Kapar.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), empat orang lelaki dikesan masuk ke rumah berkenaan dengan bersenjatakan parang dan 'taser gun'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan