Gadai nyawa bergambar di jalan raya KLCC, Bukit Bintang

NUR ALWANI ZAFIRAH KHAIRUL
Seorang pelancong asing bergambar di persimpangan lampu isyarat sekitar KLCC.
KUALA LUMPUR – Tindakan para pelancong bergambar di persimpangan jalan raya sekitar Menara Berkembar Petronas, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Bukit Bintang di sini menimbulkan rasa kurang senang warga kota.

Ini kerana tindakan mereka mengganggu kelancaran lalu lintas serta boleh menyebabkan berlakunya kemalangan.

Tinjauan Kosmo! di kawasan sekitar mendapati, lambakan kumpulan pelancong dari dalam dan luar negara memenuhi pekarangan dua kawasan tumpuan tersebut terutama pada hujung minggu.

Dalam pada itu, kehadiran jurugambar yang menawarkan perkhidmatan mengambil gambar dengan mengenakan bayaran sekitar RM10 hingga RM30 turut menyumbang kepada aktiviti berbahaya tersebut.

Mereka sewenang-wenangnya menggunakan jalan raya sebagai ‘spot’ bergambar tanpa menghiraukan risiko yang ada demi mendapatkan sudut gambar terbaik terutama berlatarkan menara KLCC.

Situasi itu juga menyebabkan kenderaan lalu lalang terpaksa mengelak dalam keadaan mengejut apabila menyedari kehadiran pelancong bergambar di jalan raya.

Dalam pada itu, semakan Kosmo! di platform media sosial, isu tersebut turut menjadi perdebatan dalam kalangan netizen dan rata-ratanya mendesak pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah kawalan sewajarnya.

“KL (Kuala Lumpur) problem (masalah)!.

“Makin lama makin teruk kawasan KLCC ini sampai atas jalan raya pun jadi ‘spot’ bergambar,” ciap pengguna X.

“Memang ganggu jalan raya bila ada yang bergambar di tengah jalan. Lagi-lagi kawasan simpang lampu isyarat KLCC memamg selalu ada yang berhenti dekat lintasan pejalan kaki untuk bergambar sekali pakej jurugambar, semak,” luah Niyniee.

“Harap tak ada kes kemalangan sebab seronok bergambar. Yang jadi masalah pengguna jalan raya lain, yang pandu kereta, tunggang motosikal, bukan nak perasan kalau tiba-tiba melintas demi video atau gambar. Otak letak mana pun tak tahu la,” kata Fitri. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan