Hospital Al Shifa bertukar jadi kuburan, mayat digilis ngeri ditemui

Harapandaily

Tentera pengganas Israel akhirnya meninggalkan bangunan Hospital Al Shifa di Gaza setelah dua minggu menyerang, mengepung dan membakar kompleks kesihatan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin di Gaza, Omar Sayem berkata, bangunan hospital itu dibakar sehingga musnah sama sekali sehingga menjadi kuburan pesakit, kakitangan perubatan, saudara mara dan pelarian.

“Hari ini, kita menyaksikan kemusnahan sepenuhnya oleh Israel terhadap hospital berkapasiti 700 katil yang paling penting di Gaza, iaitu Kompleks Perubatan Al Shifa,” katanya, lapor BH.


Menurut Omar, nama Shifa yang bermaksud ‘Rumah Penyembuhan’ kini bertukar menjadi ‘Rumah Kematian’ akibat kekejaman oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang menyokongnya.

Jelasnya, hospital itu ditubuhkan 78 tahun lalu dengan mandat kerajaan British.

“Simbol besar-besaran politik penjajahan Israel yang tidak berhati perut dan dengan matlamat untuk menghapuskan rakyat Palestin, institusi sosial dan kehidupan kami.

“Kerajaan AS, Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom (UK) patut berasa malu kerana bersubahat dan menyokong jenayah perang Israel dan kekejaman terhadap semua manusia.

“Lihatlah dengan teliti medan pembunuhan di Syifa, jangan sekali-kali melupakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, pelaku dan kuasa yang terlibat,” luahnya.
Beliau menegaskan hospital Al Shifa musnah sepenuhnya dan tidak mungkin boleh digunakan lagi.

“Hospital Al Shifa adalah kompleks perubatan terbesar dan telah musnah dan terbakar sepenuhnya,” katanya lagi.

Digilis

Sementara itu, Kementerian Kesihatan dikendalikan Hamas di Gaza berkata, tentera Israel sudah mengundurkan kereta kebal dan kenderaan tentera yang mengepung kompleks utama Hospital Al-Shifa.

Menurut kementerian tersebut, puluhan mayat, sebahagian daripadanya sudah reput, ditemui dari dalam dan sekitar kompleks perubatan.
Wartawan Hossam Shabat di Hospital Al-Shifa melaporkan mayat dalam keadaan mengerikan dengan tangan dan kaki diikat ke belakang sebelum digilis ratakan oleh jentolak Israel.
Lapor AFP, seorang doktor memaklumkan lebih 20 mayat ditemui dan ada yang hancur akibat digilis kenderaan tentera teroris Israel yang berundur.

Wartawan Hossam Shabat pula melaporkan mayat di sekitar Hospital Al-Shifa dalam keadaan mengerikan dengan tangan dan kaki diikat ke belakang sebelum digilis ratakan oleh jentolak Israel.

Sebelum ini, serangan udara dan bedilan serta tembakan peluru bertubi-tubi menghentam kawasan sekitar kompleks tersebut.

Pengganas tentera Zionis melancarkan operasinya pada 18 Mac lalu, yang dianggap mereka sebagai operasi ‘ketepatan tinggi’ menyasarkan pejuang Hamas yang dituduh beroperasi dari kompleks itu.

Hamas bagaimanapun menafikan pihaknya beroperasi dari Hospital Al-Shifa dan kemudahan kesihatan lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan