Jerut kekasih dengan tudung, Shahrul Nizam dipenjara 30 tahun

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my

Putrajaya: Penyelenggara stor yang membunuh teman wanitanya dengan menjerut leher menggunakan kain tudung terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan, hari ini, menggantikan hukuman mati terhadapnya dengan pemenjaraan 30 tahun.

Panel tiga hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan keputusan itu dan memerintahkan pemohon, Shahrul Nizam Mohd Shah, 52, menjalani hukuman penjara daripada tarikh tangkap iaitu pada 8 Oktober 2008.

"Hukuman mati diketepikan, diganti dengan hukuman penjara 30 tahun mulai tarikh tangkap," kata Tengku Maimun.

Terdahulu, peguam, R Subash yang mewakili Shahrul Nizam memohon anak guamnya menjalani hukuman penjara 30 tahun.

"Dia sudah ditahan di penjara selama 16 tahun," katanya.

Mendengar permohonan itu, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi tidak membantah permohonan Shahrul Nizam.

Pada 22 Mac 2010, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Shahrul Nizam bersalah dan dijatuhi hukuman mati kerana membunuh teman wanitanya, Nurul Hazira Bharum, 26, selepas mendapati mangsa akan berkahwin dengan lelaki lain.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di rumah sewanya di Kampung Gombak, Kuang, Rawang, antara jam 9 dan 10 pagi 7 Oktober 2008.

Rayuan Shahrul Nizam ditolak Mahkamah Rayuan pada 9 Mei 2012.

Ketika membela diri, Shahrul Nizam memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia dan bekas kerani itu pada mulanya bercadang membunuh diri dengan meminum racun seperti 'Romeo dan Juliet', dan mendakwa mangsa memaksanya meminum racun terlebih dahulu dan akibatnya, dia pengsan.

Shahrul Nizam berkata, apabila sedar kembali, dia mendapati Nurul Hazira sudah tidak bernyawa dan dia pun segera berlari ke rumah jiran untuk meminta pertolongan.

Shahrul Nizam mendakwa, mangsa memberitahunya bahawa dia tidak mencintai lelaki yang meminangnya dan oleh itu meminta pemohon menjadikannya sebagai isteri.

Bagaimanapun, dia meminta teman wanitanya itu bersabar kerana ketika itu dia tidak mempunyai wang.

Laporan bedah siasat mendapati, Nurul Hazira meninggal dunia akibat cekikan dan tiada racun ditemukan di dalam tubuhnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan