Jumpa rangka terpisah dengan tengkorak di kuarters guru

IVAN AMIRUL
Penemuan beberapa bahagian tulang yang dipercayai rangka manusia ditemui di sebuah bangunan kuarters perumahan guru terbiar di Membakut, Beaufort, Sabah.
BEAUFORT – Dua pekerja ditugaskan membersihkan kawasan sebuah bangunan kuarters perumahan guru terbiar di Membakut dikejutkan dengan penemuan beberapa bahagian tulang yang dipercayai rangka manusia semalam.

Dalam penemuan kira-kira pukul 9 pagi itu, rangka manusia berkenaan ditemui di sebuah bilik.

Pemangku Ketua Polis Daerah Beaufort, Asisten Superintendan Weddrin Mojingkin berkata, dua pekerja terbabit ditugaskan membersihkan kawasan bangunan yang dikatakan terbiar sejak lima tahun lalu.

“Hasil siasatan mendapati, rangka manusia terbabit masih lengkap berpakaian dan berada dalam keadaan terlentang. Bagaimanapun, badan rangka berkenaan terpisah dengan tengkorak kepala yang ditemui di kedudukan sisi badan mayat.

“Berdasarkan keadaan mayat yang hanya tinggal tulang, tempoh kematian dianggarkan sudah lama. Difahamkan, tempat ini sudah lama ditinggalkan kosong tanpa penghuni sejak kira-kira lima tahun lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Weddrin, siasatan lanjut turut menemui satu wayar putih tersimpul bulat yang tergantung di atas kipas di bilik berkenaan selain kerusi plastik yang rebah berhampiran dengan kedudukan mayat berkenaan.

“Identiti mayat setakat ini masih belum dikenal pasti dan polis tidak menemui sebarang kesan perbuatan jenayah yang di tempat penemuan. Kertas siasatan kini sudah dibuka dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut berdasarkan siasatan lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, Weddrin memaklumkan semua tulang berkenaan sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti identiti mangsa dan punca sebenar kematian.

“Usaha mencari orang awam yang kehilangan ahli keluarga juga sedang giat dilakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan