Kelantan: 9 April cuti ‘hari buat ketupat’

Malaysiakini 

Kerajaan Kelantan mengumumkan cuti peristiwa pada 9 April (Selasa) depan.

Menteri besarnya Mohd Nassuruddin Daud berkata cuti pada ‘hari buat ketupat’ itu bagi memberi laluan kepada persiapan menyambut hari raya Aidilfitiri dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Kerajaan negeri mengumumkan cuti peristiwa sempena Aidilfitiri bagi negeri Kelantan pada hari Selasa, 9 April,” katanya pada sidang media di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Untuk rekod ‘hari buat ketupat’ merupakan panggilan masyarakat Kelantan sebagai merujuk kepada hari sebelum menjelangnya 1 syawal atau hari raya Aidilfitri.

Sementara itu Mohd Nassuruddin juga mengumumkan bantuan khas kewangan Aidilfitri RM500 kepada penjawat awam.

Katanya bantuan itu dikhaskan bagi mereka bergred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

“Bantuan RM250 pula kepada ahli-ahli majlis, penghulu, halaqat, penyelaras ICT dewan undangan negeri (DUN), penyelaras pembangunan armalah, guru pondok, guru al-Quran, guru fardu ain dan guru jahitan (mudaribah).

“Bantuan ini akan disalurkan seawal 5 April,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan