Kelantan: Penagih dadah diselamatkan daripada terjatuh Jambatan Sultan Yahya Petra

ROHANA MOHD. NAWI
Anggota bomba sedang memujuk seorang lelaki selepas diselamatkan oleh orang awam daripada terjatuh Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU – Tindakan pantas orang ramai berjaya menyelamatkan seorang lelaki disyaki penagih dadah yang hampir terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini hari ini.

Lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an itu berada dalam keadaan tergantung pada pagar besi penghadang jambatan sebelum disedari oleh pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim, Fakaruddin Brahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.48 pagi sebelum bergegas keluar ke lokasi kejadian.

Menurutnya, seramai lapan anggota dengan sebuah jentera tiba di lokasi dan mendapati lelaki terbabit sedang dipegang oleh awam selepas dia berjaya diselamatkan.

“Difahamkan, orang awam melihat sebuah motosikal yang lelaki itu tunggang ditinggalkan tidak jauh dari lokasi dia hampir terjatuh ke dalam sungai.

“Lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Fakaruddin memberitahu, lelaki itu dikatakan menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 ke jambatan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan