Kereta jatuh gaung, suami isteri, anak 3 tahun terselamat

Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bh.com.my
Anggota bomba bersama orang awam membantu mangsa selepas sebuah kereta Honda City terjatuh dalam gaung di Jalan Gunung Inas. - Foto NSTP/IHSAN BOMBA
Anggota bomba bersama orang awam membantu mangsa selepas sebuah kereta Honda City terjatuh dalam gaung di Jalan Gunung Inas. - Foto NSTP/IHSAN BOMBA
BALING: Sepasang suami isteri dan anak lelaki mereka berusia tiga tahun terselamat selepas kereta dinaiki mereka terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter di Jalan Gunung Inas, di sini petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Abdul Jalal Mat Zaini, 27, dan isteri, Nur Raihan Romli, 34, dipercayai hamil tujuh bulan dan anak mereka, Muhammad Adib Kamali Abdul Jalal, 3.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.54 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Baling yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Osman Awang Besar bersama seramai sembilan anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 memaklumkan berlaku kemalangan jalan raya di kawasan terbabit.

"Setibanya anggota di lokasi, didapati terdapat sebuah kereta Honda City dipercayai terjatuh gaung sedalam kira-kira 10 meter.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pemandu kereta terbabit sempat membawa keluar anaknya dari kereta itu sebelum kenderaan terbabit menggelongsor kira-kira 10 meter ke dalam gaung.

"Anggota bomba kemudian turun ke bawah gaung dengan menggunakan tali penyelamatan bagi menyelamatkan isteri mangsa yang masih dalam kereta," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Jamil berkata, semua mangsa berjaya dibawa naik dan distabilkan sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke Hospital Baling.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan