Lima anggota polis disyaki samun berdepan tindakan dalaman

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Lima anggota polis antara tujuh individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes samun warga asing membabitkan wang tunai berjumlah RM260,000, berdepan tindakan dalaman antaranya pertukaran jabatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata tindakan tersebut akan dilakukan berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan dan keputusan oleh timbalan pendakwa raya (TPR).

"Anggota polis tersebut masih bertugas tetapi berstatus tidak aktif. Kita tunggu keputusan TPR," katanya selepas hadir pada majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata ada di antara suspek yang ditahan akan diminta memainkan peranan sebagai saksi kejadian dan membantu mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.

Pada 7 April lalu, tujuh individu termasuk lima anggota polis diberkas kerana disyaki menyamun seorang lelaki warga asing di sebuah residen di Jalan Tun Razak menyebabkan kerugian RM260,000.

Sementara itu, Rusdi berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM10.1 juta sepanjang tempoh Januari hingga Mac lalu, manakala bagi tempoh sama 2023 membabitkan RM39.7 juta.

"Statistik perbandingan tangkapan pula bagi Januari hingga Mac 2024 dan tempoh yang sama tahun lepas menunjukkan peningkatan iaitu pada tahun ini mencatatkan tangkapan sebanyak 5,977 orang berbanding 3,576 orang pada 2023," katanya.

Dalam pada itu, menurut Rusdi perkembangan dunia masa kini yang menjadikan platform dalam talian bagi tujuan penipuan telah menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah di Kuala Lumpur.

Beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur telah melakukan 996 serbuan untuk tempoh Januari hingga Mac lalu.

"Bagi Jenayah Call Center, JSJK berjaya membuka sebanyak 16 kertas siasatan membabitkan tangkapan seramai 180 orang," katanya.

Selain itu, Rusdi berkata Cawangan Khas Kuala Lumpur telah menjalankan risikan ke atas sindiket yang menjalankan penyeludupan rokok tidak bercukai dan menahan dua warga asing serta merampas rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai RM66,205.92.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan