Mufti Perlis: Nilaikan dari apa yang terzahir, bukan di fikiran

Malaysiakini 

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin meminta umat Islam supaya menilai sesuatu logo produk atau perkhidmatan berdasarkan apa yang terzahir, bukan apa yang bermain di fikiran.

Menurut Mohd Asri, dia pernah menerima aduan yang mendakwa logo sebuah hotel yang diberi nama All in di Perlis, menyerupai kalimah Allah.

"Di Perlis ada hotel diberi nama "All in". Maka, ada yang tidak berpuas hati kerana kononnya mereka nampak macam tulisan Allah. Apatah Lagi pemiliknya pula bukan-muslim.

"Saya bertanya kepada yang membantah "dia tulis apa?, Jawab mereka: "All in". Tanya saya: "Jadi, apa masalahnya?". Jawab mereka: "Nampak macam tulisan Allah".

"Saya kata: "Dia tak tulis Allah, hampa yang nampak macam Allah. Huruf pun jelas All in, bukan Allah," katanya dalam tulisan di Facebook, hari ini.

Tambahnya, pemilik hotel itu juga bimbang mengenai salah faham terhadap logo berkenaan kerana banyak barangan telah dicetak menggunakan logo tersebut.

"Kita nilai apa yang terzahir pada tulisan tu bukan apa yang bermain dalam fikiran.

"Namun, jika kita dapati ada rencana untuk mempersendakan Umat Islam, barulah kita ambil tindakan yang sewajarnya. Jika tiada, jangan timbulkan masalah," katanya.

Bagaimanapun Mohd Asri tidak mendedahkan bilakah tarikh dia menerima aduan mengenai logo hotel tersebut.

Kenyataan Mohd Asri itu muncul di tengah-tengah kontroversi selepas tular video seorang lelaki yang mendakwa kasut Vern’s dibeli untuk isterinya memaparkan logo seakan-akan kalimah Allah.

Vern's bagaimanapun menjelaskan logo berkenaan telah disalah tafsir.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata logo tersebut tidak bertujuan menghina mana-mana agama atau kepercayaan, sebaliknya hanya rekaan grafik garisan tali yang bersambung dengan tapak kasut tumit tinggi.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain sebelum ini berkata polis menerima lapan laporan di seluruh negara berkaitan isu itu dan kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat perkara itu di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan