Muhyiddin: 'Ahli Parlimen Bersatu yang sokong PM, tunggu sahajalah'

Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my

Hulu Selangor: Bersatu menyerahkan kepada Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk melaksanakan notis berhubung status kedudukan enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti sudah berbincang dan membuat keputusan berhubung perkara itu.

"Kita akan ambil langkah-langkah yang sudah dipersetujui dalam tempoh seminggu ini.

"Oleh itu, kita serahkan kepada pihak Setiausaha Agung untuk melaksanakannya. Jadi, tunggu sahajalah (tindakan lanjut)," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu di Fraser Valley, Kuala Kubu Bharu, di sini.

Turut hadir, Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Media sebelum ini melaporkan Bersatu akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri untuk mengesahkan sama ada mereka kekal dengan keputusan meneruskan sokongan itu.

Langkah itu susulan pindaan terhadap Perkara 10 perlembagaan parti itu, yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Ini selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 2 April lalu, meluluskan usul pindaan Perlembagaan Bersatu yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas.

Muhyiddin dilaporkan berkata, jika enam Ahli Parlimen berkenaan kekal menyokong Perdana Menteri, selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti berkuat kuasa, iaitu kerusi Parlimen berkenaan akan dikosongkan.

Enam Ahli Parlimen itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Selain itu, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan