BHarianonline
Pasangan Perancis yang mengambil 160 ekor kucing dan hidup dalam serba kekurangan dilarang memiliki haiwan peliharaan lagi. - Foto AGENSI
NICE: Sepasang suami isteri dari Perancis yang berkongsi pangsapuri mereka dengan hampir 160 ekor kucing dan tujuh ekor anjing, dihukum penjara selama setahun dan larangan kekal memelihara haiwan peliharaan.
Mahkamah Jenayah Nice memutuskan pasangan itu bersalah atas kesalahan pengabaian keadaan kesihatan yang sangat teruk terhadap kesemua haiwan terbabit.
Pasangan itu juga diperintahkan membayar lebih 150,000 euro (RM765,376.22) sebagai ganti rugi kepada persatuan kebajikan haiwan.
Pasangan itu mendiami bersama 159 kucing dan tujuh anjing di sebuah pangsapuri di Nice yang berkeluasan 80 meter persegi.
Tahun lalu, pegawai polis bertindak selepas menerima aduan daripada kejiranan yang mendapati puluhan haiwan mengalami dehidrasi, kekurangan zat makanan, diselaputi parasit dan luka di setiap bilik di rumah pasangan itu.
Di dalam bilik mandi, penyiasat menemukan bangkai sekurang-kurangnya dua kucing dan dua anak anjing.
Pada akhir perbicaraan, pemilik haiwan itu, seorang wanita berusia 68 tahun, berkata dia tidak berniat untuk 'menyerah kalah' atas hukuman yang dikenalkan kepada mereka.
"Siapa yang tidak akan merayu terhadap ketidakadilan seperti ini?
"Ia seperti menyatakan seorang wanita dia tidak akan mempunyai anak lagi.
"Haiwan itu pelengkap dan lambang kasih sayang dalam hidup saya tetapi keadaan itu sudah tiada telah meleset," kata pemiliknya.
Dia menegaskan keadaan haiwan peliharaan terjadi begitu berikutan pangsapurinya rosak dan keadaan peliharaannya hanya bersifat sementara.
Katanya, dia sedang mencari penyelesaian tetapi mendapati dirinya tidak berdaya kerana jangkitan yang menjejaskan kucing dan gelombang haba yang menyebabkannya sakit.
Penilaian psikiatri mendedahkan keadaan mental yang dikenali sebagai 'sindrom Noah' atau penimbunan haiwan, yang dicirikan oleh keinginan untuk mengekalkan bilangan haiwan yang lebih tinggi daripada biasa tanpa keupayaan untuk menjaganya dengan betul.
Wanita itu dan pasangannya yang berusia 52 tahun menghadapi prosiding pengusiran dan hutang sewa 8,000 euro (AS$8,665).
Pada 2014, pasangan itu menjadi subjek siasatan apabila mereka tinggal bersama 13 kucing dan seekor anjing di sebuah studio berkeluasan kira-kira 18 meter persegi.
Beberapa tahun kemudian wanita itu mengambil kira-kira 30 kucing yang ditemui di sebuah bangunan terbiar dan mengatakan ia berisiko diracun.
Kemudian haiwan itu membiak sehingga bilangan sekarang. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan