Agensi
KEADAAN trafik plaza tol di Semarang, Jawa Tengah, pada malam 6 April lalu, apabila orang ramai mula pulang ke kampung halaman. FOTO AFP
Jakarta: Polis Indonesia (Polri) menyediakan bas percuma untuk warga kota yang mahu pulang berhari raya, lapor portal Tempo.Co.
Bas percuma itu akan membawa penduduk ke empat destinasi iaitu Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur dan Jogjakarta.
Ketua Polis Negara Indonesia (Polri), Jeneral Listyo Sigit Prabowo ketika hadir pada pelepasan program itu pada Sabtu lalu berkata, pihaknya berharap kementerian dan institusi lain dapat menawarkan program sama.
Menteri Pengangkutan, Budi Karya Sumadi dan Panglima Angkatan Bersenjata Nasional (TNI), Jeneral Agus Subiyanto, turut menghadiri acara pelepasan itu.
Listyo, Budi, dan Agus memeriksa kemudahan kesihatan yang disediakan untuk orang ramai serta keadaan pengembara.
Sebelum berlepas, pemandu bas menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
Listyo berkata, orang ramai yang mahu menaiki bas percuma itu perlu mendaftar untuk menyertai program berkenaan melalui sistem dalam talian dan balai polis.
Beliau menegaskan sekiranya pengembara gagal mendapatkan tempat duduk dalam program itu, Polri akan menyelaras dengan institusi lain yang masih mempunyai kuota dalam program pulang beraya secara percuma untuk membantu mereka.
Sementara itu, Ketua Kor Trafik Polri, Inspektor Jeneral Aan Sukanan berkata, program percuma itu turut ditawarkan 19 pejabat polis wilayah.
Secara keseluruhan, 58,350 tempat duduk bas disediakan secara percuma di bawah program berkenaan.
Katanya, program itu diadakan bagi meminimumkan kemalangan jalan raya yang kerap berlaku pada musim hari raya.
Sepanjang musim perayaan Aidilfitri 2023, terdapat kira-kira 3,500 kemalangan dalam tempoh 15 hari, yang mengakibatkan 554 orang terkorban.
Media melaporkan 193 juta penduduk Indonesia dijangka mudik atau pulang ke kampung pada Aidilfitri tahun ini.
Tempoh puncak pergerakan orang ramai adalah antara Sabtu sehingga semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan