Remaja maut kemalangan: Koperal polis ditahan

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

Melaka: Anggota polis berpangkat koperal ditahan bagi membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal dengan kenderaan polis, kelmarin.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, anggota terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah pada 9 pagi tadi.

Menurutnya, ketika ini rakaman percakapan masih dijalankan terhadap anggota berusia 37 tahun itu.

"Saringan ujian air kencing turut dijalankan dan anggota berkenaan bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainol berkata, sehingga kini pihaknya menerima enam laporan berkaitan insiden berkenaan dan tiga rakaman percakapan termasuk ahli keluarga mangsa sudah dilengkapkan.

Menurutnya, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas mangsa meninggal dunia di Hospital Melaka pada 12.37 tengah malam semalam.

Beliau turut mengulangi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan profesional.

"Orang ramai yang melihat kejadian diminta menghubungi IPD Alor Gajah di talian 06-5563222 bagi membantu siasatan," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan remaja meninggal dunia selepas 'bertarung nyawa' di Hospital Melaka (HM) akibat parah selepas terbabit kemalangan dengan kenderaan polis di Jalan Gangsa Kesang, Durian Tunggal, di sini, awal pagi Rabu lalu.

Mangsa Mohammad Khairul Basahri, 18, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman.

Siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada 2.56 pagi semasa pacuan empat roda polis terbabit melakukan tugas rondaan cegah lumba haram sebelum dilanggar oleh motosikal ditunggang mangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan