Sanusi dicabar ambil tindakan undang-undang kes Kedah Agro

M Hifzuddin Ikhsan
am@hmetro.com.my
MUHAMMAD Sanusi (kiri) dan Shaiful Hazizy. FOTO Arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi (kiri) dan Shaiful Hazizy. FOTO Arkib NSTP
Alor Setar: Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dicabar mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mendakwa berlaku kesalahan dalam tadbir urus Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB).

Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata ramai pihak menunggu tindakan selanjutnya bakal diambil Menteri Besar itu selepas mengeluarkan kenyataan 'jumpa kamu di mahkamah' sebelum ini.

Berikutan itu, beliau mencabar Muhammad Sanusi membawa kes berkaitan Kedah Agro ke mahkamah jika Menteri Besar itu berasakan berada di pihak yang benar.

"Sanusi ini kalau bercakap, memang dia nombor satu. Dia yang terpaling berani, dia terpaling hebat, dia terpaling itu ini. Tapi, cakap sahaja, buat belum tentu tidak.

"Sebab itu saya rasa ramai pihak ternanti bila masa Sanusi akan membawa orang yang membongkar mengenai sisi hitam Kedah Agro, yang menurut Sanusi adalah fitnah ke mahkamah?

"Malah Sanusi sendiri yang kata dengan penuh bangganya see u in court tapi setakat ini, dekat gelanggang badminton pun Sanusi tidak berani hendak jumpa dengan orang tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berikutan itu, Shaiful Hazizy mendakwa Muhammad Sanusi tidak berani mengambil tindakan mahkamah ke atas individu terbabit, sebaliknya hanya akan berdiam diri dalam isu KAHB yang belum tamat.

Katanya, tindakan itu hanya akan memalukan kerajaan negeri selaku pemilik Kedah Agro melalui Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang mengawal syarikat itu sebelum ini.

"Saya yakin sekarang ini, Sanusi sendiri tidak berani, tetapi sudah keluar kenyataan makan diri. Akhirnya, apa yang terjadi? Berdiam diri, sunyi sepi.

"Nasihat saya kepada Sanusi, jangan tarik hand brake kalau dulu sudah kata hendak jumpa di mahkamah. Teruskan kalau MB (Menteri Besar) buat cara MB. Jangan buat cara pembangkang. Selesaikan ikut lunas undang undang.

"Kalau orang tua tua dulu selalu pesan, berani kerana benar. Jadi kalau lihat perangai Sanusi sekarang, agak-agak Sanusi dalam golongan yang benar atau salah? Tepuk dada tanya akal fikiran," katanya.

Terdahulu, seorang wanita yang juga bekas kakitangan KAHB mendakwa berlaku kesalahan tadbir urus dalam syarikat itu sehingga menyebabkannya menanggung kerugian.

Wanita terbabit turut mendakwa MBI telah mengambil keuntungan dan mengambil staf KAHB sebelum ini, selain mendakwa MBI campur tangan dalam pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan