Sindiket along kejam bakar rumah, kenderaan peminjam culas tumpas

ZULHISHAM ISAHAK
Kumar menunjukkan rumah yang dibaling dengan 'molotov cocktai' dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Isnin
Kumar menunjukkan rumah yang dibaling dengan 'molotov cocktai' dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Isnin
JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan satu sindiket along yang bertindak ganas dan kejam terhadap peminjam selepas menahan tujuh ahlinya dalam beberapa serbuan sekitar daerah ini baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M Kumar berkata, tangkapan yang dilakukan bermula 28 Mac sehingga Ahad itu melibatkan 15 pegawai dari Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) Cawangan D7 dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.
Kumar menunjukkan resit dirampas daripada sindiket along yang melakukan ugutan terhadap peminjam, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Isnin.
Kumar menunjukkan resit dirampas daripada sindiket along yang melakukan ugutan terhadap peminjam, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Isnin.
Menurutnya, polis menahan enam lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 29 hingga 46 tahun.

"Mereka menerima upah daripada sindiket untuk membuat ugutan jenayah dengan cara menyimbah cat dan khianat dengan api ke atas rumah milik mangsa-mangsa yang gagal membuat pembayaran pinjaman.

"Menerusi serbuan berjaya merampas tujuh telefon bimbit, wang tunai RM2,300, satu unit komputer riba; dua keping kad 'touch n go' bersama alat 'smart tag' dan tiga bungkus plastik mengandung cat merah.

"Selain itu turut dirampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi, sebuah kereta Proton Saga dan pelbagai jenis peralatan tulis dan kertas," katanya ketika sidang akhbar di IPK Johor di sini pada Isnin.
Keadaan kenderaan yang dibakar sindiket along.
Keadaan kenderaan yang dibakar sindiket along.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket tersebut sudah bergerak aktif melakukan jenayah itu sejak Januari lalu dengan mendapat upah RM600 untuk khianat simbah dengan cat dan RM1,000 untuk lakukan khianat dengan api.

Katanya, modus operandi sindiket pinjaman tersebut adalah melalui pengiklanan tawaran pinjaman wang dalam Facebook dengan kapsyen 'Singapore legal money lender' untuk memperdaya peminjam.
Antara rumah yang menjadi sasaran along selepas dibakar kerana tidak melakukan pembayaran pinjaman wang
Antara rumah yang menjadi sasaran along selepas dibakar kerana tidak melakukan pembayaran pinjaman wang
"Wang akan dimasukkan ke dalam akaun milik peminjam oleh sindiket setelah diberikan butiran nombor akaun, permit kerja serta alamat tempat tinggal walaupun perjanjian pinjaman belum dipersetujui.

"Sindiket akan memaksa peminjam untuk membuat pembayaran dengan mengenakan kadar faedah yang tinggi antara 20 hingga 50 peratus daripada jumlah pinjaman yang diberikan.

"Sekiranya peminjam membayar katanya, ahli sindiket akan membuat ugutan seterusnya melakukan perbuatan khianat simbah cat atau khianat dengan api untuk menakutkan peminjam dan ahli keluarganya," katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati sasaran sindiket ialah warga Malaysia yang bekerja di Singapura dan segala urusan transaksi kemasukan serta pembayaran balik pinjaman adalah menggunakan akaun bank yang didaftarkan di luar negara.

Jelasnya, penangkapan tujuh ahli sindiket tersebut berjaya menyelesaikan 29 kes dan hasil ujian saringan air kencing ke atas semua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Kumar memberitahu, siasatan kes tersebut dilakukan di bawah Seksyen 436, Seksyen 435, Seksyen 247 dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu Kumar berkata, bagi tempoh Januari 2020 hingga bulan ini, sebanyak 1,211 kes along telah dilaporkan dengan 333 Individu berjaya ditangkap.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak melayari iklan-iklan yang memaparkan pinjaman wang secara atas talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi talian hotline 019-2792095 atau bilik gerakan 07-2212999," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan