Tiga kanak-kanak cedera, suami isteri maut kemalangan

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
PASANGAN suami isteri maut apabila kereta dinaiki mereka terbabit nahas berhampiran R&R Banjaran Titiwangsa dekat Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, hari ini. FOTO ihsan bomba
PASANGAN suami isteri maut apabila kereta dinaiki mereka terbabit nahas berhampiran R&R Banjaran Titiwangsa dekat Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, hari ini. FOTO ihsan bomba
Gerik: Pasangan suami isteri maut apabila kereta dinaiki mereka terbabit nahas berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa dekat Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini, hari ini.

Tiga kanak-kanak iaitu dua kanak-kanak lelaki dan seorang bayi perempuan yang berada dalam kenderaan sama dinaiki pasangan itu bagaimanapun cedera.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, secara keseluruhan terdapat 10 orang mangsa nahas iaitu dua mangsa meninggal dunia manakala lapan yang lain cedera.

Menurutnya, nahas membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Persona yang dinaiki lima mangsa dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova yang juga dinaiki lima mangsa.

Beliau berkata, individu yang menaiki Toyota Innova terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita.

"Nahas ini mengakibatkan keseluruhan 10 orang mangsa di mana tiada mangsa tersepit. Dua mangsa yang juga suami isteri meninggal dunia manakala lapan yang lain cedera.

"Setibanya bomba di lokasi mangsa sudah dikeluarkan dan anggota bomba membantu pihak perubatan menguruskan mangsa-mangsa itu.

"Mangsa dihantar ke Hospital Gerik menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan, ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM), dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, panggilan kecemasan diterima jam 12.23 tengah hari tadi dengan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik digerakkan ke lokasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan