Malaysiakini
Penyedia platform media sosial TikTok dan Meta digesa meningkatkan pemantauan terhadap kelakuan tidak sahih tersusun (coordinated inauthentic behaviour atau CIB).
Ia susulan terdapat peningkatan laporan kandungan yang memudaratkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Berdasarkan statistik SKMM, setakat tiga bulan pertama tahun ini sejumlah 51,638 kes telah dipanjangkan kepada penyedia platform dalam talian untuk tindakan lanjut berbanding 2,904 kes kandungan yang direkodkan tahun lalu.
"Kedua-dua penyedia platform diminta meningkatkan usaha pemantauan kandungan (content moderation) susulan peningkatan tersebut dengan lebih holistik dan proaktif," kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
CIB ialah taktik manipulasi komunikasi di media sosial, yang antaranya menyelaraskan kempen penyebaran maklumat melalui pelbagai akaun.
Ia disyaki berlaku dalam isu jualan stoking bertulis kalimah Allah oleh KK Mart bagi mengapi-apikan kemarahan orang ramai.
Perkara sama turut disyaki berlaku dalam kes dakwaan palsu kononnya Malaysia tidak lagi menganjurkan acara tahunan Tilawah Al-Quran.
Sementara itu, SKMM berkata kerajaan turut meminta agar pemantauan berkaitan kandungan yang menyentuh isu 3R (kaum, bangsa dan agama) dengan lebih efektif.
"Penyedia platform turut diminta menangani kandungan berkaitan 3R (kaum, agama dan institusi raja) secara efektif dengan merujuk garis panduan platform dan undang-undang Malaysia.
"Kita juga menggesa TikTok dan Meta untuk memantau dan mengambil tindakan segera ke atas kandungan memudaratkan seperti penipuan terancang (scam) serta perjudian haram dalam talian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada mesyuarat di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya semalam, turut dibincangkan berkenaan pengesahan umur minimum 13 tahun untuk mengakses platform media sosial serta menilai kecekapan algoritma pelantar bagi mengesan kandungan memudaratkan.
"Ini bagi memastikan kanak-kanak tidak terpengaruh dengan kandungan memudaratkan di media sosial.
"Pada masa sama, kita minta untuk melihat semula kecekapan algoritma yang memacu kecerdasan buatan dan keupayaan pembelajaran mesin bagi mengesan kandungan 3R, kelakuan tidak sahih tersusun (atau sebarang kandungan memudaratkan," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan