Topi keledar 'lagi mahal' daripada nyawa anak

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
IBU bapa dan anak-anak dinasihat agar  memakai topi keledar yang diiktiraf selamat oleh standard Sirim. FOTO Arkib NSTP
IBU bapa dan anak-anak dinasihat agar memakai topi keledar yang diiktiraf selamat oleh standard Sirim. FOTO Arkib NSTP
Kuala Lumpur: Tindakan ibu bapa membenarkan anak-anak kecil membonceng motosikal tanpa topi keledar, seolah-olah menggambarkan nyawa kanak-kanak berkenaan murah atau tidak penting.

Pelbagai alasan juga diberikan setiap kali ditahan pihak berkuasa, antara yang paling kerap digunakan 'menunggang dalam taman', 'pergi dekat saja', 'helmet kanak-kanak mahal' dan pelbagai alasan lagi.

Ibu bapa rela memperjudikan keselamatan anak sendiri demi menjimatkan wang RM60 hingga RM90 untuk sebiji topi keledar.

Tidak memakai topi keledar ini seolah-olah sudah menjadi budaya dalam masyarakat walaupun jumlah kematian tinggi membabitkan pengguna motosikal namun masih ramai yang mengambil mudah kepentingan topi keledar.

Tinjauan Harian Metro di dua kawasan taman perumahan sekitar Lembah Klang mendapati isu tidak memakai topi keledar terus berleluasa, malah ada yang berani membonceng kanak-kanak tanpa topi keledar sehingga ke jalan besar yang sibuk dengan jentera berat.

Sekitar jam 6 petang, kelihatan ramai ibu bapa menjemput anak masing-masing dari sekolah tanpa memakai topi keledar, malah ada yang menunggang sambil membonceng dua ke tiga orang kanak-kanak.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan berkata, pihaknya ada menjalankan Ops Khas Topi Keledar susulan aduan orang ramai berhubung masalah itu.

"Operasi khas ini membabitkan lebih 100 anggota dan pegawai di lokasi tumpuan susulan risikan oleh pegawai JPJ berikutan aduan daripada orang ramai yang meminta tindakan diambil.

"Berdasarkan pemerhatian kami dapati memang benar berlaku pelanggaran peraturan terutama oleh penunggang motosikal di kawasan-kawasan perumahan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, alasan menunggang 'dalam taman' atau 'dekat-dekat sahaja' tidak boleh dijadikan amalan kerana isu keselamatan jalan raya tidak boleh diambil mudah.

Katanya, ada ibu bapa yang memiliki kereta tetapi memilih menggunakan motosikal demi menjimatkan kos atau mengelak kesesakan trafik dan ia tidak menjadi kesalahan namun faktor keselamatan anak-anak wajib diutamakan.

"Kenderaan motosikal ini boleh dinaiki dua orang tetapi menjadi kebiasaan ibu bapa bawa anak-anak melebihi kapasiti penumpang malah tidak memakai topi keledar.

"Ibu bapa perlu sedar risiko tinggi setiap kali menunggang motosikal jadi mereka dan anak-anak perlu memakai topi keledar yang diiktiraf selamat oleh standard Sirim.

"Selain itu, ibu bapa juga diingatkan supaya tidak membenarkan anak-anak yang tidak memiliki lesen memandu yang sah untuk menunggang atau memandu kenderaan," katanya.

Lokman berkata, sebanyak 1,410 motosikal diperiksa menerusi Op Khas Motosikal di sekitar Puchong Perdana di Selangor baru-baru ini dalam usaha memberi advokasi tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya dalam kalangan penunggang motosikal.

Menurutnya, sebanyak 92 motosikal disita dalam operasi itu, manakala kesalahan paling tinggi dikesan selain tidak memakai topi keledar adalah menunggang tanpa lesen iaitu sebanyak 230 saman dikeluarkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan