17 tahun hidup 'nomad' diburu along

Hakimi Suria Kencana, Nor Syazrina Muhamad Tahir dan Nurul Najwa Mohd Noordin
am@hmetro.com.my
SITI berusaha membayar semula hutang yang dibuat kedua-dua orang tuanya.
SITI berusaha membayar semula hutang yang dibuat kedua-dua orang tuanya.
Kuala Lumpur: "Hanya Kelantan sahaja kami belum berpindah sepanjang 17 tahun melarikan diri daripada buruan along."

Begitu luahan seorang wanita dikenali sebagai Siti, 20-an, (bukan nama sebenar) yang dibebani hutang apabila kedua-dua orang tuanya membuat pinjaman dengan peminjam wang haram terbabit.

Hutang keluarganya kini berjumlah RM200,000 menjadikan mereka hidup dalam keadaan ketakutan, semuanya akibat sikap tidak ambil peduli ibu bapanya.

Siti berkata, sejak kecil ketika berusia tujuh tahun, dia bersama empat beradik lain hidup gelandangan termasuk tidur di dalam kereta selain menumpang di masjid kira-kira 17 tahun.

"Kejadian bermula apabila ibu dengan kelam-kabut tiba-tiba mengejutkan saya daripada tidur lalu terus membawa kami 'lari' ke Terengganu dari Kuala Lumpur.

"Kami mula berpindah-randah ke semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Kelantan sejak 2004 selepas ibu bapa kami terjerat dan mula dikejar Along," katanya.

Katanya, bermula dari Kuala Lumpur - tanpa mengira sekejap atau lama, mereka berpindah-randah ke beberapa negeri kerana diburu Along terbabit.

"Kehidupan saya dan adik-beradik tidak seperti kanak-kanak lain. Apabila ibu bapa mula berhutang dengan Along sebanyak RM30,000 pada 2004, kehidupan kami bertukar ketakutan.

"Sehingga kini, hutang lama itu masih belum dilunaskan ibu bapa. Sekarang saya sudah berusia 20-an, tetapi rupanya kesilapan ibu bapa yang dahulu diulangi semula," katanya ketika ditemubual Harian Metro, di sini, semalam.

Menurut Siti, dia mengetahui perkara itu ketika bermaaf-maafan dengan ibu bapanya pada pagi 1 Syawal, baru-baru ini.

"Saya perasan pada pagi raya itu, mereka berkelakuan pelik dan resah sehinggalah ibu mengakui mereka meminjam lagi wang daripada Along.

"Sejujurnya, saya tidak menafikan sangat marah ketika itu kerana mereka tidak memikirkan kesan jangka panjang kepada keluarga.

"Rupa-rupanya selepas diselidik, mereka sudah melakukan pinjaman sebanyak RM200,000 daripada 14 Along pada tahun ini untuk menyelesaikan hutang," katanya.

Difahamkan, ibu bapa Siti terjebak dengan Along apabila perniagaan diusahakan mereka mengalami masalah kewangan.

"Disebabkan itulah, ibu bapa saya mengambil keputusan sendiri tanpa berbincang dengan keluarga untuk berhutang dengan Along.

"Sehingga kini saya berasa sangat kecewa dengan tindakan ibu bapa kerana pada usia begini saya masih lagi menanggung beban hutang yang tidak pernah langsai," katanya.

Menurutnya, dia rasa tertekan dengan masalah hutang sehingga pernah mahu mengambil keputusan luar jangka, tetapi menukar fikiran kerana mengingati Allah SWT.

Katanya, kakak sulung berusia 30-an dan anaknya juga tidak berani keluar rumah, begitu juga adik-beradiknya kerana Along sentiasa cuba menjejaki mereka.

"Saya sanggup bersusah-payah cuba menolong membayar hutang atas nama keluarga dan tidak mahu menyusahkan keturunan dengan masalah hutang yang banyak ini.

"Kini, saya dan keluarga berusaha untuk keluar daripada masalah ini apabila mencari pendapatan bagi melunaskan hutang Along yang membelenggu kami sekian lama," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan