2 pegawai kanan syarikat air Kelantan, 2 konsultan ditahan SPRM

Hidayatidayu Razali
bhnews@bh.com.my

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu termasuk dua bekas pegawai kanan syarikat air di Kelantan bagi membantu siasatan berkaitan pembinaan telaga jejari yang tidak berfungsi untuk membekalkan air kepada penduduk.

Menurut sumber, keempat-empat lelaki berusia antara 40 hingga 60-an itu ditahan secara berasingan di sini, antara jam 7 hingga 10 pagi ini.

Katanya, dua lagi yang ditahan adalah pemilik syarikat yang diberi tanggungjawab sebagai konsultan bagi menyiapkan pembinaan telaga terbabit.

"Telaga jejari ini sepatutnya berfungsi untuk membekalkan air yang mencukupi kepada penduduk, namun siasatan awal mendapati ia tidak menghasilkan kuantiti air secara optimum," katanya, hari ini.

Menurut sumber, ia dipercayai disebabkan berlaku amalan rasuah dan penyelewengan dalam pelaksanaan projek pembinaan telaga jejari itu.

Katanya, SPRM turut menyita beberapa barangan daripada suspek seperti dokumen dan telefon bimbit.

"Semua suspek dibawa ke Pejabat SPRM Kelantan bagi dirakamkan keterangan," katanya.

Difahamkan, siasatan berkenaan dipercayai hasil rungutan dan aduan daripada penduduk yang tidak berpuas hati dengan isu air di Kelantan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Katanya, semua mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, esok, bagi proses permohonan reman untukk siasatan lanjut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan