22 pengayuh basikal ditahan kerana langgar peraturan

BeritaHarianSg
LTA menyatakan bahawa pengayuh basikal tersebut ditahan kerana kesalahan seperti berbasikal dalam kumpulan melebihi 10 pengayuh, dan menaiki basikal yang tidak mematuhi peraturan. - Foto  LTA/FACEBOOK
Seramai 22 pengayuh basikal ditahan atas kesalahan melanggar peraturan berbasikal sepanjang dua minggu lalu, dalam satu operasi penguatkuasaan bersama oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Polis Trafik (TP).

Dalam catatan Facebook pada 6 Mei, LTA menyatakan bahawa pengayuh basikal terlibat telah ditahan kerana kesalahan seperti berbasikal dalam kumpulan melebihi 10 pengayuh, dan menaiki basikal yang tidak mematuhi peraturan.

LTA mengingatkan pengayuh basikal supaya memastikan basikal mereka mematuhi peraturan sedia ada, selain mematuhi had panjang kumpulan, lapor The Straits Times (ST).

Pengayuh hanya dibenarkan berbasikal dalam kumpulan lima pengayuh dalam satu barisan, atau 10 pengayuh dalam dua barisan di jalan raya.

Mereka juga harus mengekalkan jarak selamat minimum 30 meter, iaitu sekitar dua tiang lampu, dengan kumpulan lain di jalan raya.

LTA menyatakan ia akan terus mengambil tindakan “terhadap pengguna mobiliti aktif yang bersalah dan membahayakan orang lain dengan tingkah laku tidak bertanggungjawab mereka.”

Ia menambah bahawa semua pengguna peranti mobiliti aktif perlu mematuhi peraturan jalan raya dan mobiliti aktif sepanjang masa.

Pengayuh yang didapati melanggar peraturan mengenai saiz kumpulan pengayuh boleh didenda $150.

Denda tersebut juga dikenakan terhadap pengayuh basikal yang tidak berhenti di lampu merah, mengayuh di lebuh raya, atau mengayuh seiring pengayuh basikal lain di jalan raya yang mempunyai satu laluan, dan di lorong bas semasa waktu operasi lorong bas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan